IBU bapa beri alasan supaya fokus dalam pelajaran.

Saya pelajar tahun kedua di sebuah universiti awam (UA). Saya mempunyai teman lelaki yang sudah bekerja dan perhubungan ini diketahui keluarga.

Selepas mempertimbangkan beberapa perkara dalam perhubungan, kami merancang berkahwin pada tahun ini.

Namun keluarga menghalang niat saya untuk berkahwin dan alasan yang diberikan kerana masih belajar dan perlu fokus kepada pengajian di universiti.

Saya kira alasan ini tidak munasabah kerana beberapa ada rakan yang masih belajar tetapi sudah berkahwin.

Untuk makluman teman lelaki saya sudah bekerja dan mempunyai pekerjaan tetap.

Saya buntu dengan masalah yang dihadapi ini. Saya tidak mahu menyakiti hati ibu bapa dan keluarga namun niat untuk berkahwin itu tidak dipersetujui. Saya berharap puan dapat membantu menyelesaikan hal ini.

Dilema

Kuantan, Pahang

Perkahwinan atau pernikahan dalam Islam adalah perkara yang sangat dituntut. Nikah menurut bahasa adalah bertemu, berkumpul dan bercampur.

Perkahwinan ini adalah satu ikatan perhubungan yang halal diikuti akad dan nikah. Perkahwinan bukan hanya membabitkan perhubungan antara dua orang yang berlainan jantina dan bukan mahram bahkan penyatuan dua keluarga besar di sebelah perempuan serta lelaki.

Oleh itu, ia sesuatu yang sangat penting dalam sesebuah ikatan kekeluargaan. Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia yang bererti sifat pembawaan manusia sebagai makhluk Allah.

Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat fizikal dan rohaninya, pasti memerlukan teman hidup berlainan jantina.

Maka hasrat anda untuk berkahwin adalah sesuatu yang munasabah dari segi amalannya.

Namun dalam situasi membabitkan anda dan keluarga, perkahwinan yang diimpikan ini mempunyai halangan berdasarkan beberapa faktor. Antara yang dinyatakan adalah status anda sebagai pelajar dan perlu fokus kepada pengajian terlebih dulu.

Itu adalah prasyarat yang dikenakan keluarga. Oleh itu, ia menimbulkan isu berbangkit dalam perancangan anda dan pasangan untuk berkahwin.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh diperhalusi secara murni di antara anda, pasangan dan keluarga:

1.Perbincangan secara bersemuka dalam situasi aman dan terkawal.

Perbincangan secara bersemuka adalah cara yang paling penting dalam hal perkahwinan. Bersemuka bermaksud perbincangan yang dilakukan dalam keadaan terkawal, sebaiknya pihak perempuan dan pasangan perlu berbincang dari hati ke hati bersama keluarga masing-masing terlebih dulu. Segala hasrat hati dan perancangan itu perlu dimaklumkan kepada keluarga secara terperinci.

Pada peringkat ini, pelbagai isu mungkin timbul, begitu juga persoalan dan percanggahan pendapat. Perkara asas yang perku dikuasai adalah kemahiran komunikasi dua hala.

Setiap orang yang berbincang perlu memainkan peranan sebagai komunikator dan pendengar. Setiap peranan itu perlu bertukar mengikut keadaan.

Contohnya, jika keluarga berbicara maka anda seharusnya menjadi pendengar yang baik tanpa sedikit pun menentang. Kemahiran ini membolehkan perbincangan berlangsung dalam suasana yang harmoni.

2.Perbincangan menggunakan orang tengah atau wakil keluarga

Perbincangan ini perlu berlaku dalam kedua-dua pihak sama ada perempuan atau lelaki. Orang tengah boleh terdiri dari kalangan ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kemahiran negosasi yang baik dan dihormati keluarga.

Anda seharusnya berbincang dengan wakil ini secara mendalam supaya segala isu yang muncul boleh dibincangkan dengan keluarga.

3.Perbincangan rasmi melibatkan keluarga

Perbincangan ini berlaku apabila kedua-dua pihak bersedia untuk berbincang dengan lebih rasmi membabitkan keluarga besar.

Peranan ibu bapa pihak lelaki sangat penting kerana keraguan timbul daripada pihak perempuan.

Keraguan pula disebabkan status sebagai pelajar yang masih mempunyai tanggungjawab dalam pengajian dan tiada punca pendapatan.

Kemungkinan isu kewangan ini juga diambil kira keluarga pihak perempuan. Justeru, pihak lelaki seharusnya hadir bagi menjawab keraguan ini dengan meyakinkan keluarga pihak perempuan dalam urusan berkaitan kewangan.

4.Menyelesaikan konflik secara jujur dan ikhlas

Konflik yang wujud adalah isu menjadi halangan kepada pencapaian kata putus serta persetujuan.

Jadi, setiap konflik yang ada perlu diperjelaskan supaya setiap orang yang terbabit dalam keputusan ini maklum tentang setiap isu berkenaan.

Anda perlu bertanya kepada keluarga mengenai segala kerisauan atau keraguan mereka berkenaan kemampuan anda untuk berkahwin ketika bergelar pelajar universiti.

5.Memberikan masa untuk keluarga dan diri sendiri membuat keputusan.

Tanpa mendesak keluarga dan diri sendiri, anda perlu memberikan masa supaya perbincangan berlaku secara aman serta harmoni.

Perlu diingatkan perkahwinan itu bertujuan menyatukan bukan memisahkan.

Segala proses yang membabitkan usaha itu perlu mempunyai tertib yang tersendiri dan bukan terburu-buru.

Ambil masa untuk tempoh bertenang tanpa prejudis tetapi berusaha meyakinkan diri dan keluarga mengenai hasrat untuk berkahwin.

6.Mendengar pandangan dan pendapat orang lain sebagai panduan serta pertimbangan

Pandangan baik perlu diteliti sementara yang sebaliknya perlu ditapis terlebih dulu. Namun begitu, perkongsian daripada orang lain yang mempunyai pengalaman dan pendapat berbeza adalah penting dalam membuat keputusan.

Bersikap terbuka dalam menerima pandangan orang lain adalah usaha yang baik ke arah matlamat ingin dicapai.

7.Fokus pengajian tanpa gagal

Meskipun hasrat untuk berkahwin sudah menjadi agenda keutamaan dalam diri anda ketika ini, namun fokus terhadap tanggungjawab yang dipikul perlu berlangsung sebaik mungkin tanpa gagal.

Jika anda terganggu dan hilang fokus dalam pengajian kerana isu ini maka secara langsung ia membuktikan anda tidak mampu untuk menguruskan hal ini jika berkahwin. Gangguan ini akan merumitkan lagi hasrat untuk berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 11:49 AM