AKTIVITI penyelidikan yang berkesan dapat diteruskan menerusi bantuan Wakaf Pendidikan - Gambar hiasan
KESELESAAN di rumah ibadat seperti masjid di institut pengajian tinggi turut menjadi keutamaan Wakaf Pendidikan - Gambar hiasan
PENUNTUT orang kurang upaya (OKU) turut menikmati bantuan wakaf zakat pendidikan - Gambar hiasan
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Sejarah Islam jelas membuktikan wakaf boleh menjadi sumber dana utama bagi dunia pendidikan. Terdapat banyak contoh wakaf berkenaan, sama ada dilaksanakan secara individu, institusi atau kerajaan.

Antara institusi wakaf pendidikan di beberapa negara Islam yang berjaya dan terkenal adalah Universiti al-Azhar, Mesir, Madrasah Nizamiyyah, Iraq; Madrasah Al-Junied, Singapura, Yayasan Darunnajah dan Universiti Islam Indonesia, Indonesia.

Bergerak ke arah itu, institusi pengajian tinggi di Malaysia perlu belajar daripada institusi yang sudah berada di hadapan.

Antara contoh yang baik untuk diteladani adalah Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Apa yang kita boleh belajar daripada Universiti Harvard adalah dua perkara iaitu prestasi kecemerlangan akademik dan kemampanan kewangan universiti.

Tidak dinafikan, kecemerlangan Universiti Harvard melahirkan tokoh ilmuwan hebat yang menyumbang secara langsung untuk masyarakat dunia hingga ramai jadi penerima Hadiah Nobel atau Nobelaurate.

Perkara kedua yang jarang kita ketengahkan adalah kekuatan kewangan Universiti Harvard itu sendiri yang menjadi sumber utama pembiayaan kajian dan penyelidikan universiti itu.

Suatu yang sangat mengagumkan apabila sumber kewangan terbesar Universiti Harvard datang daripada sumber bersifat endownment atau wakaf.

Berdasarkan laman rasmi Universiti Harvard, setakat tahun ini, jumlah wakaf yang terkumpul bernilai AS$ 37 bilion (RM163.1 bilion) dan aset ini diurus Syarikat pengurusan Harvard (HMC, Inc), sebuah syarikat pengurusan pelaburan milik universiti itu sendiri.

Jumlah aset yang besar itu dimanfaatkan untuk kegunaan infrastruktur, kajian dan kegiatan universiti. Memandangkan universiti boleh berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana geran dan institusi luar, mereka mampu menggerakkan sebarang agenda dengan lancar dan berkesan.

Di negara kita, beberapa universiti awam (UA) bergerak memajukan tabung wakaf atau endowment dengan memulakan langkah awal ke arah penubuhan Tabung Wakaf Pendidikan.

Mereka cuba mencari pendapatan sendiri sekurang-kurangnya 30 peratus, sementara sekitar 70 peratus lagi peruntukan daripada kerajaan.

Dilaporkan, empat UA iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mengumpul lebih daripada RM12 juta baru-baru ini.

UPM sahaja, berjaya mengumpulkan wakaf RM8.1 juta sejak penubuhannya pada 2011, UKM mengumpulkan lebih RM400,000 sejak penubuhannya pada 2010 dan USIM mengumpulkan lebih RM3.93 juta sejak 2013.

Manakala Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraih RM421,000 sejak 2015, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula Tabung Endowmen yang ditubuhkan pada sekitar 2009 berjaya mengumpulkan kira-kira RM82 juta daripada pelbagai sumber dana.

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM Dr Razali Othman, penubuhan dana Wakaf Pendidikan bertujuan mewujudkan satu insfrastruktur jangka panjang yang lestari bagi memenuhi sebahagian keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik membabitkan warga kampus.

Beliau berkata penubuhan dana wakaf ini sejajar dengan Pelan Strategik Pengajian Negara yang menyasarkan UA menjana pendapatan bagi menampung keperluan kewangan masing-masing selain merancakkan aktiviti kesarjanaan ilmu di institut pengajian.

“Dana wakaf adalah inisiatif yang sama cuma perbezaannya adalah penjanaannya berkonsepkan wakaf dan dana terkumpul menerusi pelbagai medium seperti kaunter wakaf, CIMB Click, peti besi, e-claim dan e-jurnal akan dilaburkan untuk menjana pendapatan bagi membiayai program pendidikan tinggi di UPM.

“Malah dana ini juga adalah program penjanaan dana berlandaskan wakaf melalui sumbangan berbentuk tunai dan harta yang pewakaf mewakafkannya kepada UA sebagai pemegang amanah bagi kepentingan ilmu serta manfaat ummah sejagat.

“Ia bagi membantu golongan yang layak menerima dan turut disasarkan bagi aktiviti konsultansi, pembangunan makmal, penyediaan tesis, pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Dr Razali berkata, di UPM penggunaan Dana Wakaf Ilmu UPM terbahagi kepada empat skim iaitu Skim Wakaf Umum, Skim Wakaf Kitab, Skim Wakaf Fasiliti dan Skim Wakaf Kenderaan Khas.

“Melalui wakaf itu, bukan sahaja penuntut menerima manfaat, tetapi pembangunan yang baik dapat dilaksanakan di universiti ini bagi menjamin keselesaan warganya termasuk kemudahan di masjid, jalan raya, pengangkutan dan aktiviti penyelidikan.

“Penuntut kurang berkemampuan layak memohon bantuan menerusi skim wakaf ini juga mengikuti pengajian di UPM, penuntut mendapat tawaran pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) secara sepenuh masa serta penyelidikan dalam pelbagai bidang keilmuan di UPM,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Razali mengakui dalam melaksanakan wakaf itu wujud beberapa kekangan atau cabaran yang perlu ditempuhi.

Antaranya, kata beliau, tahap pendedahan dan pemahaman masyarakat terhadap amalan itu masih rendah apabila masih membayangkan amalan wakaf hanya berorientasikan tanah terbiar, pembinaan masjid atau kubur saja.

“Masyarakat Islam perlu menyedari konsep wakaf pendidikan bertujuan membiayai sesebuah institusi pendidikan dan tidak begitu mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan atau orang ramai.

“Jadi bagi mengembangkan dana wakaf itu, sesebuah institusi perlu mengembangkannya melalui pelaburan dalam institusi kewangan Islam seperti penerbitan sukuk (instrumen kewangan Islam), wakaf amanah pelaburan hartanah Islam (I-REIT) dan sebagainya,” katanya.

Di samping itu, institusi wakaf turut kurang mendapat sambutan dalam pasaran kerana usaha pemasaran oleh institusi wakaf tidak memberangsangkan.

Kerajaan atau pihak institusi wakaf itu sendiri perlu memasarkan produk wakaf ini sebagai satu agenda terpenting bagi memastikan institusi wakaf boleh berkembang seiring pasaran global.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 11:43 AM