DARI kiri Ngiew, Nor Azlina dan Mohd Nazmi.

Tiga penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berjaya memenangi Anugerah Tesis Terbaik dalam bidang sumber air dan hidroligi sempena majlis perasmian Hari Air Sedunia 2017 anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dataran Sri Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang. Majlis turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mohd Nazmi Ahmad memenangi Anugerah Emas sementara Andy Ngiew Qi Ying menang Anugerah Gangsa dan Dr Nor Azlina Alias turut meraih Anugerah Gangsa.

Ketiga-tiga mereka adalah di bawah bimbingan Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UNITEN Profesor Datin Lariyah Mohd Sidek.

Ngiew yang juga penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil berkata, tidak menyangka menjadi penuntut terbaik bagi anugerah tesis yang dijalankan di satu sungai di Kelantan.

“Saya gembira dan bersyukur dengan kepercayaan diberikan Datin (Lariyah) sehingga beliau menghantar permohonan bagi pihak saya. Saya tak sangka sama sekali memenangi anugerah ini,” katanya,.

Beliau yang juga siswa tahun akhir berkata tesis yang dijalankan di satu sungai di Kelantan itu menerangkan berkenaan metodologi meramal kekuatan aliran air menggunakan model tangki dan seterusnya memberikan amaran awal kepada penduduk sekitar sungai itu.

Sementara pemenang Anugerah Emas Tesis Terbaik Peringkat Sarjana, Mohd Nazmi pula berkata tesis beliau yang bertajuk Empirical Rainfall Model Based on Urban Heat Island Related Parameters: Case Study - Sg Penchala, Malaysia adalah model emperikal digunakan untuk meramal jumlah taburan hujan kesan pencemaran udara di kawasan bandar bagi membantu pembangunan bandar lestari.

“Saya tidak pernah menjangka berpeluang menjadi calon untuk Anugerah Tesis Terbaik ini apatah lagi memenangi Anugerah Emas di peringkat nasional.

“Kemenangan ini meningkatkan semangat dan melonjakkan keyakinan saya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya menjadi ilmuwan dan penyelidik berjaya,” katanya.

Bagi pemenang Anugerah Gangsa kategori PhD, Dr Nor Azlina membuat tesis yang bertajuk An Integrated Numerical Hydrodynamic Shallow Flow Model for Urban Areas.

“Saya membangunkan satu model emperikal yang juga model satu dimensi. Dewasa ini terdapat lambakan model komersial di pasaran tetapi hampir semuanya dihasilkan pakar dari negara luar.

“Jurutera tempatan terpaksa menggunakan model yang dihasilkan dari luar negara lantaran kekurangan model dihasilkan pakar tempatan,” katanya. -Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 11:31 AM