AHMAD ZAINI (tengah baju putih) merakamkan kenangan selepas merasmikan Program Melestarikan Alam Sekitar 3R.

Kesedaran masyarakat kepentingan menjaga alam sekitar dan proses kitar semula terutama di luar bandar masih kurang.

Lantaran itu, penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar, Kedah mengambil inisiatif menganjurkan Program Melestarikan Alam Sekitar 3R di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yit Min, Changlun, baru-baru ini.

Pengarah Projek, Amir Akmal Mazlan berkata, 11 penuntut semester empat Diploma Pengajian Perniagaan terbabit dalam program sehari itu.

“Kami memberi penekanan kepada kepentingan 3R iaitu pengurangan, guna semula dan kitar semula kepada orang ramai yang hadir dan bersama-sama menjayakan aktiviti diadakan.

“Antara aktivitinya adalah ceramah daripada Environment Idaman (E-idaman), pertandingan mewarna dan pertandingan mereka pakaian menggunakan barangan kitar semula,” katanya.

Program mendapat kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Kelab Rukun Tetangga Changlun dan E-idaman itu dirasmikan ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar. - Mohd Sharumnisham Shahbudin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 11:00 AM