KUAN (paling kanan) melancarkan Captur pemasangan tempatan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Model crossover Renault Captur terjual lebih 760,000 unit di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada 2013 dan berada di pasaran Malaysia bermula 2015.

Berikutan sambutan menggalakkan daripada pengguna TC Euro Cars Sdn Bhd (TCEC) pengedar rasmi kenderaan jenama Renault di Malaysia melancarkan Captur pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TCEC Kuan Kim Luen berkata, Captur dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, yang pertama di luar Sepanyol serta mematuhi spesifikasi yang disahkan Renault.

“Captur kini diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan rekaan yang bergaya, ciri keselamatan bertaraf Eropah sesuai buat pengguna urban yang mahukan kenderaan yang praktikal dan responsif,” katanya ketika pelancaran.

Ia dikuasakan enjin 1.2 liter pengecas turbo TCe 120 dengan transmisi automatik enam kelajuan Efficient Dual Clutch (EDC) mampu memberikan kuasa tork lebih tinggi daripada enjin biasa bersesaran 1.8 liter.

Untuk Renault Captur pemasangan tempatan terdapat tambahan satu kombinasi warna baru iaitu merah serta hitam dengan pilihan tempat duduk balutan kulit sebagai opsyen.

Pada harga RM109,000 (atas jalan tanpa insurans) termasuk lima tahun waranti pengeluar tanpa had perbatuan ia dijual secara rasmi bermula 19 April lalu dan 100 pelanggan terawal mendapat rebat sebanyak RM11,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:14 AM