MINI Moke berwarna merah cili yang diubah suai menjadi tidak berbumbung sesuai dipandu untuk makan angin.
SKYLINE R35 berwarna merah jambu yang menjadi tarikan pengunjung.
Fatin Farhana Japre
metahad@hmetro.com.my


Lebih 15,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan pameran jentera empat roda unik dan menarik yang diubah suai secara ekstrem anjuran Retro Havoc dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar dan Tourism Johor di Stadium Sultan Ibrahim Muar, Johor baru-baru ini.

Pameran kenderaan ini mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya mengumpul 817 kereta retro dari 10 negara antaranya Malaysia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Indonesia, Brunei dan Australia dalam masa satu hari.

Penyelaras acara Retro Havoc, Chua Teck Boon berkata, program berkenaan dianjurkan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sekali gus mewujudkan platform untuk peminat kereta retro berkongsi pendapat dan idea dalam mengubah suai kereta masing-masing.

“Kejayaan menarik lebih 15,000 pengunjung dari Johor, Melaka, Seremban dan luar negara akan menjadikan Johor sebagai lokasi tahunan pameran kenderaan Retro Havoc pada masa akan datang.

“Pelbagai jenama dan model kereta berusia 20 tahun ke atas hadir memeriahkan acara ini membabitkan Volkswagen Beetle, Mini Cooper, NSX, Nissan S15, Toyota AE86 dan beberapa model lain yang sukar dilihat di jalan raya.

“Rata-rata pemilik kereta ini adalah golongan belia dan ramai mewarisinya daripada ibu bapa masing-masing. Malah satu pasukan konvoi dari Hong Kong sudah bertolak 20 hari sebelum acara ini dengan merentasi empat negara iaitu China, Laos, Thailand, Malaysia dan tiba di Muar, Johor semata-mata untuk menyertai pameran kenderaan Retro Havoc 2017,” katanya.

Beliau berkata, Retro Havoc 2017 turut mempertandingkan beberapa kategori seperti Best Wheels, Best Engine Bay, Best Racing Look, Best JDM, Best Future Retro, Best Presentation selain demo drift yang diadili juri dari Jepun, Indonesia, Singapura dan Filipina.

“Acara ini diserikan lagi dengan dua buah kereta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan salah satunya model Shelby 1000 untuk dipamerkan kepada pengunjung,” katanya.

Peserta, Syukri Asnor, 29, dari Skudai Johor mengakui berasa teruja menyertai pameran ini kerana bilangan peserta yang ramai dari seluruh negara.

“Saya dapat berkongsi pengalaman berhubung penjagaan enjin dan aksesori dalaman daripada peserta lain. Program ini juga baik, terutama kepada golongan muda bagi mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:14 AM