WAJAH penduduk Pos Senderut.
RAWATAN diberi kumpulan sukarelawan daripada IDAM.
SUKARELAWAN melakukan pemeriksaan perubatan terhadap Orang Asli.
PACUAN empat roda digunakan untuk masuk ke kawasan kampung.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Menaiki pacuan empat roda menuju ke pedalaman bagi melaksana tanggungjawab kepada komuniti menjadi rutin Dr Ahmad Yusuf Yahya bersama sukarelawan IMAM Response & Relief Team (IMARET) terdiri daripada kumpulan pengamal perubatan.

Mengakui tuntutan tugas masing-masing sudah sedia padat, bukan alasan untuk mengelak turun berbakti terutama kepada komuniti Orang Asli.

IMARET bekerjasama rapat dengan kelab pacuan empat roda Malaysian Mountaineer Four Wheel (MM4W) selaku moderator aspek logistik serta rakan dari Islamic Dental Association Malaysia (IDAM) memilih Kampung Lubuk Muman Pos Senderut Pahang bagi misi Reaching Into Senderut (RISE 2017).

Kata Yusuf, sebalik fasiliti perubatan di hospital mahupun klinik awam bertambah baik, namun ada kes terpinggir membabitkan masyarakat pendalaman mengenai kesihatan.

Selain memberi bantuan perubatan sokongan mereka memberi bantuan makanan serta pakaian terpakai bagi merapatkan jurang kualiti hidup lebih baik antara penduduk Orang Asli dengan masyarakat luar.

Lebih penting menurut Yusuf, kesedaran masyarakat itu mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan diri menjadi perhatian pihaknya kerana masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Selaku pengamal perubatan, kami mahu meningkatkan kualiti kesihatan mereka. Oleh itu kami membuat klinik bergerak.

“Menerusi projek itu kami bukan saja mendirikan klinik malah bergerak ke kampung lain untuk merawat selain mengagihkan bekalan perubatan yang diperlukan terutama pada musim hujan ketika ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Yusuf berkata aktiviti membabitkan penduduk kampung secara aktif menerusi sesi memberus gigi serta merawat kutu bersama sukarelawan merapatkan hubungan antara satu sama lain.

Bagi wakil IDAM Dr Khairul Anwar Sanusi berkata, projek itu bukan pertama kali buatnya bersama sukarelawan IDAM.

“Kami ada sukarelawan yang sering turun ke pedalaman melaksanakan projek begini. Penyertaan kami bergantung kepada kelapangan jadual dan semua dirancang mengikut keperluan penduduk.

“Untuk kali ini perkhidmatan kami adalah pemeriksaan gigi serta rawatan cuci plak gigi. Ini lebih menjurus servis asas dan memberi penerangan kepada penduduk seharusnya bagaimana mereka menjaga gigi.

“Kita berharap dengan usaha kita bertemu dan turun ke kampung mereka, penduduk akan lebih peka dengan tahap kesihatan gigi selain menjaga aset mereka demi kelangsungan hidup,” katanya.

Dalam misi sama hampir 60 sukarelawan membabitkan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kesihatan Kuantan menyertai misi terbabit.

Wakil kumpulan itu Razan Hayani Mohamad Yusoff menyifatkan penyertaan kali ini memberi pendedahan berguna kepada bakal pengamal perubatan terhadap komuniti kelak.

“Ini pengalaman penting buat kami pelajar jurusan perubatan mengenai semangat sukarelawan perlu disemai selaku pengamal perubatan setelah tamat belajar nanti.

“Kami belajar mengenai kemahiran komunikasi selain kaedah mendekati golongan Orang Asli cukup terkenal dengan sikap pemalu mereka. Saya dan rakan berharap ini bukan kerja pertama mahupun terakhir dalam misi kemanusiaan,” katanya.

Tidak melupakan tulang belakang kepada misi ini iaitu Malaysian Mountaineer Four Wheel (MM4W) terdiri daripada penggiat sukan lasak membabitkan pacuan empat roda di pinggir gunung dalam mengatur aspek logistik serta teknikal sepanjang program berlangsung.

Ketua misi berkenaan, Abudzar Ali berkata, biarpun berdepan cabaran antaranya maklumat tepat membabitkan jumlah penduduk serta bantuan diperlukan, mereka dapat mengatasinya menjelang hari program.

“Mengenai bantuan, kami berdepan cabaran mendapatkan jumlah tepat dan sentiasa bersedia dengan plan tambahan. Bukan mudah kerana di Pos Senderut saja terdapat 70 kampung.

“Kami menyasarkan lapan kampung terakhir kerana mereka paling ceruk dan berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan bekalan. Kami menganggarkan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM9,000.

“Peranan kami dalam program ini bukan sekadar mengagihkan bantuan malah penyediaan pengangkutan sukarelawan serta penyediaan makanan serta sokongan kepada kumpulan sukarelawan terbabit.

“Anggaran keseluruhan 22 Jalopy terbabit termasuk lori bagi tujuan mengangkut bantuan. Kami merancang misi lebih besar untuk persiapan menjelang puasa. Semestinya saya berharap sokongan baik agensi kerajaan, korporat mahupun orang perseorangan sudi menghulurkan bantuan baik segi wang ringgit mahupun barangan kepada misi kami seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:12 AM