QIMTI Cering memantau anak kambing yang baru dilahirkan.
DILAI menunggang kuda menjaga ternakannya.

Walaupun kebanyakan negara lain di hemisfera utara sudah memulakan musim bunga, padang rumput Bayan Bulag masih tidak menunjukkan perubahan. Keadaan ini merisaukan gembala kerana sepatutnya musim pembiakan juga bermula, tetapi kambing-kambing bunting sukar mencari rumput untuk dimakan, manakala anak kambing diancam mati kesejukan.

Musim pembiakan sepatutnya paling penting dalam kehidupan gembala di Mongolia yang masih mengamalkan kehidupan tradisi berpindah-randah tanpa menghiraukan teknologi moden.

Seorang gembala, Dilai, 50, berkata, sehingga 5,000 haiwan ternakan mati kesejukan di Bayan Bulag pada bulan ini saja.

Kehidupan gembala memang sukar. Setiap hari Dilai dan anak sulungnya Dovton menaiki kuda memantau kambing mereka, manakala anak saudaranya, Qimti Cering memantau anak kambing yang diabaikan ibu sesuatu yang pasti menyebabkan haiwan kecil itu terbunuh.

“Puluhan anak kambing dilahirkan semalam dan perlu dipantau untuk memastikan tidak mati.

“Ada kalanya si ibu mengabaikan anak kerana tidak tahu cara menjaganya. Dalam keadaan itu, kami mesti cepat bertindak dan memastikan anak kambing sentiasa panas serta mendapat susu.

“Cara paling mudah adalah mengikat kaki ibu dan anak supaya tidak terpisah,” katanya.

Dilai dan Qimti Cering terpaksa berjaga sepanjang malam selama sebulan untuk menyambut kelahiran anak kambing dengan hanya bercahayakan lampu suluh.

“Inilah satu-satunya punca pendapatan kami. Kami memang bergantung sepenuhnya pada anak kambing yang dilahirkan pada musim ini, jadi tidak mengapalah jika terpaksa mengorbankan waktu makan dan tidur,” kata Dilai.

Selain subsidi tahunan kerajaan sebanyak 10,000 yuan (RM6,400), Dilai turut meraih pendapatan 300,000 yuan (RM192,000) setahun.

Dilai berkata, Dovton, 26, memilih meneruskan usahanya selepas tamat pengajian untuk membolehkan dua adik lelakinya melihat dunia dan bekerja di bandar.

“Kehidupan kami memang sukar tetapi saya tidak mungkin meninggalkannya. Ini takdir saya. Saya akan terus menjaga kambing saya sehingga terlalu tua dan uzur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:09 AM