GELAGAT peserta yang menunggu pelepasan.
GELAGAT peserta ketika mendaki di laluan bertar Bukit Ampang.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Pertama kali dianjurkan, perlumbaan basikal lasak MPAJ-TEKAS Cabaran Bukit Ampang Jambori 2017 baru-baru ini penuh dengan aksi mendebarkan apabila 1,000 pelumba profesional serta amatur bersaing bagi membuktikan kemampuan diri.

Meredah laluan sejauh 25 kilometer (km), cabaran merangkumi 50 peratus laluan bertar dan 50 peratus laluan lasak ‘offroad’ itu bermula jam 8.30 pagi sebaik dilepaskan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Perlumbaan sengit bermula dari garisan permulaan apabila rata-rata mengambil kesempatan jalan bertar untuk memecut sebelum memasuki laluan offroad.

Memasuki laluan lasak barulah kemampuan peserta benar-benar teruji apabila sedikit demi sedikit peserta yang awalnya bergerak dalam satu kumpulan besar mula terpisah dalam kelompok kecil.

Antara halangan yang ditempuh ialah meredah anak sungai, ‘single trail’, laluan ‘downhill’ serta perlu mendaki beberapa bukit.

Biarpun lazimnya ramai peserta kecundang di laluan offroad, namun berbeza dengan perlumbaan ini, rata-rata peserta tewas ketika meredah laluan bertar Bukit Ampang.

Kemuncaknya, daripada 1,000 peserta, hanya dua berjaya menakluk halangan paling sukar dan mencabar itu, iaitu halangan bukit paling tinggi dengan berkayuh tanpa henti. Selebihnya, terpaksa menolak basikal sendiri.

Malah, kerana hebat serta beratnya halangan, ada peserta menamatkan perlumbaan selepas empat jam berhempas- pulas cuba menakluk trek perlumbaan. Peserta paling pantas pula hanya mengambil masa satu jam untuk menamatkan perlumbaan.

Biarpun cukup lasak dan mencabar, rata-rata peserta berpuas hati kerana dapat menguji kemampuan sebenar mereka dalam cabaran basikal lasak.

Pengarah Teknikal Team Kayuh Ampang Santai (TEKAS) Mustaffa Abu berkata, biarpun perlumbaan itu pertama kali diadakan, pihaknya berpuas hati dengan sambutan diterima.

“Kami berpuas hati bukan kerana perlumbaan turut disertai pelumba amatur dan profesional, sebaliknya ia turut disertai pelumba dari luar negara seperti United Kingdom, Singapura dan Indonesia. Penyertaan mereka memberi isyarat bahawa cabaran serta penganjuran ini menjadi perhatian peminat sukan lasak luar negara,” katanya.

Mustaffa berkata, perlumbaan MPAJ-TEKAS Cabaran Bukit Ampang Jambori 2017 adalah berkonsepkan perlumbaan ‘cross country’ yang menggabungkan tiga ciri cabaran lasak iaitu pendakian, ‘downhill’ dan trail hutan.

Katanya, perlumbaan lasak itu anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama TEKAS yang merangkumi sembilan kategori.

Sembilan kategori itu membabitkan Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka, Lelaki Junior Master (34 hingga 44 tahun), Lelaki Senior Master (45 hingga 50 tahun), Lelaki Super Senior Master (51 tahun ke atas), Wanita Terbuka, Wanita Senior Master, Fat Bike dan kategori Heavyweight bagi pelumba berat 90 kilogram ke atas.

Pemenang tempat pertama hingga kelima setiap kategori menerima hadiah wang tunai dan trofi manakala tempat keenam hingga sepuluh hanya menerima trofi sahaja.

Cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti motosikal dan basikal turut diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:08 AM