ERLER seronok boleh terus aktiviti memancing, daki gunung, rentas hutan seperti di Zimbabwe.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Memancing, satu daripada aktiviti luar yang kerap dilakukan Patrick Erler dan minat itu bermula sejak melalui fasa tumbesaran di Zimbabwe.

Tertarik dengan kepelbagaian spesies hidupan air di Malaysia, membuatkan lelaki berasal dari Austria ini terpanggil untuk memajukan pemuliharaan spesies ikan air tawar untuk memperbaiki ekosistem tasik, sungai mahupun lautan.

Lelaki yang fasih berbahasa Melayu ini turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak menerusi program FishNTag hasil inspirasinya bagi tujuan konservasi.

1. Kali pertama anda datang ke Malaysia dan tujuannya?

Saya berada di sini sejak Julai 2005 apabila menerima tawaran kerja di Malaysia.

Mulanya saya merancang untuk berada di sini selama setahun sebagai tempoh percubaan, sebaliknya berlaku apabila akhirnya saya menetap di Malaysia hampir 12 tahun.

Berhijrah ke negara asing yang tidak pernah dikenali menjadi satu keseronokan kerana saya yakin saya bakal menerokai sesuatu pengalaman baru.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum berada di sini?

Sebenarnya, saya tidak tahu langsung mengenai Malaysia. Apabila saya ditawarkan peluang bekerja di sini, saya membuat kajian ringkas mengenai Malaysia.

Tanpa persediaan awal, saya merancang untuk menerokai sendiri kehidupan baru di Malaysia dengan fikiran dan hati yang terbuka.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Saya berasal dari Austria, namun membesar di Zimbabwe apabila keluarga berpindah ke sana atas urusan kerja ketika saya berusia enam bulan.

Dua puluh tiga tahun berada di Zimbabwe membuatkan saya terbiasa menyesuaikan diri dengan suasana baru. Sebelum ini juga, saya pernah berada di England dan Amerika Syarikat.

Saya juga mampu bertutur dalam bahasa tempatan, Shona selain bahasa Jerman, Perancis, Melayu, sedikit bahasa Tamil dan Cina sepanjang berada di Malaysia sekali gus memudahkan saya berada di tempat baru.

Menariknya, di sini saya mampu meneruskan aktiviti lasak termasuk memancing, mendaki gunung dan merentas hutan seperti yang saya lakukan di Zimbabwe.

Jadi, kehidupan baru di Malaysia juga bukanlah sukar kerana penduduk tempatan juga mesra dan sentiasa membantu sekiranya saya memerlukan pertolongan.

4. Pengalaman menarik ingin dikongsikan?

Bagi saya, menerokai hutan Malaysia antara pengalaman paling menarik. Sekurang-kurangnya seminggu sekali saya akan melakukan aktiviti luar.

Saya pernah meneroka hutan di Perak, Pahang dan Kelantan, peluang ini membolehkan saya menemui haiwan liar seperti gajah, harimau kumbang dan tapir.

Aktif memancing di sungai dan laut dalam memberi idea kepada saya memulakan perniagaan memancing. Menggunakan konsep ‘tangkap dan lepas’, saya berasa bertanggungjawab untuk melakukan konservasi ikan di sungai dan laut.

Menerusi program FishNTag, kita menjalin kerjasama dengan Jabatan Perikanan Kelantan untuk menandakan dan mengesan ikan di seluruh dunia bermula dengan projek perintis di Kelantan.

5. Lokasi kegemaran anda?

Pastinya hutan, lautan dan pulau!

6. Makanan tempatan pilihan anda?

Lemang, rendang daging, laksa dan nasi kerabu.

7. Malaysia di mata anda?

Bagi saya, Malaysia tempat yang terbaik untuk memulakan kehidupan dan bekerja. Saya selesa berada di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:08 AM