Tuan Asri Tuan Hussein

Tingkah laku dan bahasa badan jelas menunjukkan masing-masing berasa hebat, bangga dan seolah-olah diri mereka ada kelebihan yang tidak ada pada orang lain.

Itu bacaan atau penerimaan saya selepas menonton dua klip video yang tular di media sosial mengenai perlakuan liar sekumpulan remaja dipercayai ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Kejadian dikatakan berlaku di depan sebuah sekolah menengah di Klang, Selangor. Dalam video pertama yang berdurasi 44 saat, seorang remaja yang memakai topi keledar membakar dan memusing-musingkan mercun papan di tengah-tengah jalan raya.

Dia dikelilingi beberapa remaja lain yang menunggang motosikal sambil memulas minyak bertujuan menghasilkan bunyi bising deruman enjin motosikal. Keadaan di lokasi itu agak sibuk kerana dipercayai berlaku ketika waktu pelajar pulang dari sekolah.

Video kedua yang berdurasi 24 saat pula, memaparkan aksi kira-kira 10 remaja, sebahagiannya memakai seragam sekolah, seolah-olah meraikan sesuatu dengan memotong sebiji kek yang diletakkan di atas tempat duduk motosikal.

Hiasan kek itu memaparkan pandangan sisi wajah seorang lelaki ‘Red Indian’ berserta tulisan Apache di bawah, angka 2 dan 4 di kiri kanan, selain nama sebuah sekolah menengah di bahagian atas.

Ada beberepa pelajar dilihat memegang kain pemidang dan baju dengan logo atau angka 24.

Berikutan penularan klip video itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak pantas dengan menahan 13 pelajar dari empat sekolah menengah di Klang, selain lima lelaki dari daerah sama untuk siasatan lanjut, awal pagi semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam status Twitter miliknya kira-kira jam 8.30 pagi semalam dan beliau turut berkongsi dua klip video yang menjadi tular itu.

“Ramai lagi akan ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti geng 24,” tulis Khalid di akaun Twitternya.

Syabas PDRM kerana bertindak tegas dan pantas. Gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah memang masalah serius dan menakutkan yang perlu ditangani dengan berkesan.

Selain pembabitan dalam kumpulan kongsi gelap, ada beberapa jenis jenayah lain membabitkan pelajar yang turut memerlukan perhatian serius serta tindakan pencegahan berkesan.

Antaranya termasuk penagihan dan pengedaran dadah, buli, hubungan seks haram, menonton dan memiliki video lucah, peras ugut dan samun, curi motosikal, lumba motosikal haram dan ponteng sekolah.

Persoalannya, tindakan dan pendekatan bagaimana untuk mengawal serta mengatasi masalah gejala sosial dan jenayah yang serius ini?

Pada hemat saya, kita tidak boleh membiarkan hanya Kementerian Pendidikan dan PDRM untuk menangani masalah ini. Dua pihak ini perlu dibantu dan bantuan pula perlu menyeluruh dengan membabitkan pelbagai pihak.

Dalam hal ini, saya mencadangkan ada baiknya pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diguna pakai, selepas melihat hasil positif yang diperoleh setakat ini.

NBOS adalah asas kepada Strategi Pembangunan Nasional (MyNDS) yang menumpukan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi secara pantas dengan penekanan kepada ‘capital economy’ dan ekonomi rakyat.

Secara mudah, pendekatan NBOS membabitkan kerjasama dan perhubungan rentas sempadan pentadbiran antara pelbagai kementerian atau agensi kerajaan. Sejak dilancarkan pada 2009, lebih 90 inisiatif NBOS berjaya dilaksanakan.

Antaranya ialah kerjasama kreatif antara polis dan tentera untuk kurangkan kadar jenayah, penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Pada masa ini, guru dan polis sudah mempunyai beban kerja cukup berat. Di dalam sekolah, pelajar semakin kurang ajar dan berani melawan guru, sedangkan kuasa guru semakin terbatas menyebabkan pelajar semakin naik tocang.

Di luar sekolah, polis tidak cukup kakitangan untuk memantau pelajar bermasalah. Tidak adil untuk kita menyuruh polis menahan pelajar ponteng, merokok dan melepak kerana polis ada tugas lebih berat seperti kes bunuh, rompak dan sebagainya.

Sebab itulah pada masa ini polis hanya akan bertindak apabila pelajar terbabit jenayah serius seperti gengsterisme, dadah dan mencuri.

Kalau pelajar merokok, ponteng, melepak di kompleks beli-belah dan pusat video, biasanya tiada siapa yang ambil kisah sangat, sedangkan daripada perlakuan negatif inilah mendorong kepada aktiviti jenayah lebih serius.

Justeru, saya mencadangkan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diberi kuasa untuk menangkap atau menyoal siasat pelajar yang ponteng sekolah, merokok dan sebagainya.

Kuasa dan tanggungjawab serupa juga mungkin boleh diberikan kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam di bawah Kementerian Dalam Negeri supaya masalah disiplin pelajar di luar sekolah yang menjadi titik mula kepada aktiviti jenayah dalam kalangan pelajar dapat diatasi dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Pelajar selaku generasi muda hari ini adalah penentu hala tuju negara kita pada masa depan. Jadi, kita perlu serius membendung dan mengatasi kepincangan yang wujud pada mereka.

Kegagalan melakukan tindakan serius dan menyeluruh akan menjadikan keadaan semakin buruk, sekali gus memungkinkan keadaan negara yang porak-peranda pada masa depan.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:54 AM