KAKITANGAN Nazuha menyiapkan tempahan batang buruk.
KELONGSONG batang buruk yang sudah digoreng.

Pembuatan kuih tradisional biasanya dijayakan oleh wanita, jarang sekali mendengar ada lelaki yang berminat menjadikannya sebagai mata pencarian.

Namun, bagi Nazuha Sokran, 34, pembuatan kuih batang buruk yang diusahakannya mengubah persepsi bidang itu juga mampu dipelopori lelaki.

Dia yang juga Ketua Pegawai Operasi Nalliz Foods Manufacturing, tekad mengambil alih perniagaan membuat batang buruk daripada ibunya, Simah Khalil.

Daripada batang buruk, nama kuih itu kemudian ditukar kepada Suci Dalam Debu (SDD) untuk tujuan komersial.

Batang buruk ialah kuih tradisional yang tidak asing bagi rakyat Malaysia sejak puluhan tahun lalu. Ia mempunyai peminatnya tersendiri dan syarikat itu sudah menghasilkan ratusan tan batang buruk kepada pelanggan sejak dijual pada 1987.

Menurut Nazuha, dia bangga dapat menyambung perniagaan ibunya yang jarang diusahakan kerana proses pembuatannya amat rumit dan memerlukan ketelitian yang tinggi.

Katanya, kuih itu sentiasa menjadi sebutan di Batu Pahat, Johor iaitu tempat kelahiran ibu bapanya terutama apabila menjelang Aidilfitri. Sambutan yang luar biasa itu mendorong ibunya belajar membuat dan seterusnya menjual.

Pada peringkat permulaan, jualan hanya kecil-kecilan dengan tempahan hanya daripada rakan dan saudara-mara sehinggalah kini produk Nalliz Foods Manufacturing semakin dikenali dan tempahan bertambah saban tahun.

Ikuti temu bual dengan pengusaha kuih batang buruk yang nekad mengangkat martabat kuih tradisional dan mengkomersialkan produk tempatan di mata dunia.

Soalan (S): Boleh ceritakan bagaimana anda memulakan perniagaan ini?

Jawapan (J): Secara teknikalnya perniagaan ini diusahakan oleh ibu saya sejak 1975, kira-kira 42 tahun dulu. Berlatarbelakangkan banyak pengalaman daripada keluarga yang suka berniaga, ibu saya mengambil peluang untuk membuat dan menjual kuih ini.

S: Apa keistimewaan produk ini hingga mendapat tempat di hati pelanggan?

J: Istimewanya terletak pada cara pembuatannya. Ketelitian dan kegigihan amat penting bagi mengekalkan kualiti dan rasa kuih ini agar sentiasa diingati pelanggan.

Ada tiga elemen penting iaitu kelongsong, debu dan proses campuran. Kelongsong mestilah dibuat terlebih dulu, perlu diuli nipis kemudian dipotong empat segi tepat dan seterusnya digulung menjadi bentuk silinder, dikeringkan dan digoreng.

Kepakaran hasil tangan diperlukan bagi menghasilkan satu kelongsong yang cantik dan rangup. Tiada mesin khas yang boleh digunakan setakat ini.

Elemen kedua, debu. Kacang hijau perlulah digoreng sehingga menjadi coklat keemasan dan kemudian dihancurkan menggunakan mesin khas sehingga menjadi debu yang lazat.

Elemen ketiga, proses mencampurkan kelongsong dan debu. Sebelum itu kelongsong yang digoreng tadi mestilah benar-benar kering daripada minyak. Jika faktor ini tidak diendahkan, batang buruk yang terhasil akan cepat hapak, berminyak dan cepat muak apabila dimakan.

Selepas ia dicampurkan dengan memampatkan debu kacang hijau di ruang kelongsong itu, barulah ia dinamakan batang buruk. Sebentuk silinder rangup dicampurkan dengan debu kacang hijau berkualiti super akan menghasilkan keenakan yang tiada bandingnya.

S: Bagaimanakah anda memastikan kepuasaan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan?

J: Kami sentiasa mengambil berat maklum balas pelanggan. Biasanya kami membuat khidmat selepas jualan dan minta respon mengenai rasa dan kualiti produk kami. Ia sekali gus merapatkan hubungan kami dengan pelanggan serta menambah baik kualiti produk.

S: Siapakah pendorong anda untuk terus komited meneruskan hala tuju perniagaan?

J: Ibu saya. Melihat kegigihan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan, saya ingin meneruskan warisan ini apatah lagi ibu saya sudah berumur dan tidak boleh melakukan kerja berat. Respons positif daripada pelanggan juga menguatkan saya untuk fokus dalam perniagaan. Saya rasa ‘batang buruk’ memilih saya untuk meneruskan perniagaan ini.

S: Berapakah harga jualan setiap produk ditawarkan?

J: Nalliz mengeluarkan dua saiz saja iaitu SDD standard 300 gram (g) berharga RM20 dan saiz besar (450g), RM32. Untuk saiz besar boleh didapati dengan harga RM30 sebalang bagi pembelian minimum dua balang.

Selain itu Nalliz juga mempunyai dua produk lain seperti Pretzelicious perasa pedas dan tidak pedas serta biskut Mazola yang boleh didapati daripada harga RM19 ke RM25.

Kami membuat promosi beli dan menang di mana pelanggan hanya perlu membelanjakan RM100 dan berpeluang memenangi cabutan bertuah.

S: Apakah platform jualan yang disediakan?

J: Buat masa ini, kami hanya memasarkan secara dalam talian dan mencari ejen atau dropship. Bagi yang ingin manambah pendapatan atau mendapatkan produk kami, boleh melayari Facebook dan Instagram nallizmunchies.

S: Apakah cabaran dan kemanisan sepanjang menguruskan perniagaan?

J: Cabaran utama ialah pembuatannya yang sangat rumit, ia perlu daya ketelitian tinggi serta semangat kuat. Tidak seperti kuih lain, anda boleh temui pelbagai kuih baru dan moden yang mudah dibuat tetapi tidak ramai pengeluar batang buruk di Malaysia.

Pernah suatu ketika ibu berhenti kerja dan fokus dalam perniagaan ini kerana semangat dan cintanya kepada perniagaan batang buruk ini.

S: Apakah harapan anda pada perniagaan ini?

J: Saya sentiasa berharap perniagaan warisan ini terus kekal dan berjaya hingga terkenal ke seluruh dunia. Saya juga berharap era kegemilangan batang buruk sekitar 70-an muncul kembali serta memenuhi cita rasa semua generasi.

Batang buruk ialah kuih legenda yang harus dikongsi bersama bukan sekadar di pasaran tempatan tetapi antarabangsa. Saya bercita-cita suatu hari nanti kuih dan kudapan ini berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:41 AM