PEMAKAIAN baju fabrik kapas membuatkan anda selesa sepanjang penerbangan.
Susunan Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Kerusi yang sempit dan perubahan suhu dalam penerbangan sememangnya akan mewujudkan sedikit rasa ketidakselesaan. Jadi, pemakaian yang sesuai untuk perjalanan udara sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa tidak selesa itu, sekali gus membolehkan anda menikmati penerbangan hingga ke destinasi.

Tip melancong minggu ini menyenaraikan beberapa kaedah pemakaian yang memberikan keselesaan dan juga sedikit gaya buat anda.

Elakkan pakaian berlapis

Perjalanan udara menghimpunkan pelbagai iklim mikro yang berbeza dari landasan yang panas dan berpeluh ke kabin berhawa dingin. Keadaan itu menimbulkan rasa tidak selesa terutama jika anda memakai pakaian yang berlapis-lapis atau mungkin jaket yang tebal.

Oleh itu, untuk memastikan anda sentiasa selesa dan hangat semasa penerbangan tanpa memakai pakaian berlapis-lapis, selendang kapas yang besar, kardigan, pashmina dan jaket kapas sudah memadai.

Fabrik bersesuaian

Kekalkan keselesaan dalam penerbangan dengan memakai pakaian daripada bahan fabrik yang memudahkan pengaliran udara dan kelembapan seperti kapas, sutera atau linen.

Kain yang tidak membenarkan udara berlegar akan mengakibatkan peluh pada kulit sekali gus membuatkan anda berasa tidak selesa dan berlengas.

Jadi, pastikan pakaian yang dipakai diperbuat daripada fabrik lembut dan menyerap peluh serta membolehkan pengudaraan yang baik sepanjang duduk di dalam pesawat.

Sarung kaki khas

Ramai doktor mengesyorkan wanita hamil memakai sokongan atau sarung kaki dalam penerbangan. Bagi anda terutama yang akan menempuh penerbangan jarak jauh dan kerap menaiki pesawat, memakai sarung kaki sangat penting.

Namun, gunalah sarung kaki khas yang boleh menggalakkan peredaran darah, membantu mencegah bengkak kaki dan membantu melindungi daripada trombosis vena dalam (DVT).

Sarung kaki ini boleh diperoleh di farmasi, kedai ubat, kedai menjual alatan melancong dan banyak lagi.

Kasut yang selesa

Adalah sangat penting untuk memakai kasut yang selesa. Biasanya ketika menaiki pesawat, kasut yang seeloknya digunakan adalah kasut bertumit rata.

Cuba fikirkan bagaimana keadaan kaki anda selepas berjam-jam atau berhari-hari duduk, berdiri dan berjalan. Kaki pastinya akan menjadi lemah. Dengan pemakaian kasut yang betul, anda juga berasa selesa tanpa tekanan di kaki.

Pemilihan kasut yang lebih santai juga memudahkan anda untuk melalui atau mempercepat proses pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

Berpakaian longgar

Trombosis vena dalam (DVT) sangat bahaya jika ada penumpang yang mengalaminya semasa berada di dalam penerbangan. Jadi, untuk mengurangkan risiko mendapat DVT ini, elakkan memakai pakaian yang ketat, nilon atau sarung kaki yang ketat di bahagian atas atau yang meninggalkan tanda pada kulit yang mungkin menyekat darah mengalir melalui urat.

Oleh itu, biarkanlah jeans ketat anda tinggal di rumah dan pilihlah pakaian kurang ketat seperti pakaian longgar atau lebih santai dengan seluar panjang yang lebar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 3:33 AM