CHEE Hoong (tengah) bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Dr Fuziah Muhayat (kanan)merasmikan majlis memotong reben kontena pertama.
CHEE Hong (tujuh dari kiri) dan Dr Fuziah (enam dari kiri) bersama kakitangan syarikat F.Y Sdn Bhd semasa majlis memotong riben.
PRODUK ayam segar yang akan dipasarkan di Papua New Guinea.
Muhamad Izzat Nasuruden

Jenama Ayam Madu mula mendapat tempat di persada antarabangsa apabila menembusi pasaran Papua New Guinea (PNG) selepas tiga tahun melakukan cubaan memasarkan produk ayam segar di negara itu.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan F.Y. Sdn Bhd sebagai syarikat Asia pertama yang berjaya menembusi negara itu dalam sektor industri makanan halal.

Pengurus Urusannya, Mok Chee Hoong berkata, 10 kontena dengan jumlah 10,000 ekor ayam akan dihantar ke negara itu setiap bulan bagi memenuhi pasaran tempatan di sana.

Katanya, jumlah itu sekali gus memberi peningkatan keuntungan sebanyak 10 peratus kepada syarikatnya dan ia adalah langkah positif melebarkan pasaran di luar negara.

“Walaupun PNG ini dilihat seperti sebuah negara mundur, mereka menetapkan syarat dan standard tinggi untuk produk asing masuk ke negara mereka.

“Sudah tentu saya gembira kerana kejayaan ini menunjukkan jenama Ayam Madu adalah satu produk yang berkualiti tinggi dan dipercayai masyarakat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Chee Hoong berkata, walaupun kebanyakan penduduk di negara itu terdiri daripada kalangan bukan Islam, dia yakin permintaan produk ayam segarnya tinggi kerana kurangnya persaingan dalam industri itu.

Katanya, selain PNG, dia juga merancang menembusi pasaran Singapura Jun ini dan China pada masa akan datang bagi memperluaskan jenama Ayam Madu itu.

“Sekarang ini kita sudah berjaya menembusi pasaran Indonesia, Brunei, Vietnam, Hong Kong, Jepun dan Dubai.

“Kami juga menggunakan tempat proses pembersihan ayam berbanding syarikat pemprosesan ayam lain di Malaysia dan ia menjadikan produk kita benar-benar berkualiti dan mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Menurut Chee Hoong, dia sentiasa berusaha memastikan setiap produk yang dihasilkan berkualiti tinggi dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikatnya itu berdaya saing sejajar peredaran masa.

Katanya, banyak perubahan yang dilakukan sejak syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1984 dan dia gembira dengan tahap syarikatnya itu berada pada masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:19 AM