DR Rosazlin (tengah) bersama pelajar dan kakitangan MADA membantu mengambil sampel tanah di kawasan tanaman padi di bawah pengurusan MADA.
EMPANGAN Ahning.
EMPANGAN Muda.
DR Daljit mengambil sampel untuk analisis kualiti tanah.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) menjalankan penyelidikan bersama memantau status kualiti tanah dan air di Empangan Muda serta Empangan Ahning, Kedah.

Kerjasama itu membabitkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam keperluan penanaman padi negara.

Ia bagi memastikan kualiti yang baik dapat menjamin bekalan air disalurkan untuk kegunaan domestik dan pertanian selamat untuk digunakan.

Pengaliran air yang masuk ke takungan Empangan Muda disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong bagi pengairan tanaman padi.

Sementara bagi Empangan Ahning pula, sumber aliran air adalah dari kawasan tadahan Empangan Ahning yang digunakan untuk bekalan air domestik atau industri dan sebagai bekalan tambahan untuk pengairan tanaman padi.

Penyelidik dari Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, UPM Dr Daljit Singh Karam Singh berkata, UPM dan UM menyedari pentingnya pemindahan serta perkongsian pengetahuan antara universiti, industri serta agensi kerajaan seperti MADA.

“Kerjasama penyelidikan dalam penilaian status terkini kualiti tanah dan air di empangan sudah lama dibincangkan bersama MADA.

“Apa yang penting, kami ingin masyarakat setempat mengetahui peranan universiti bukan hanya untuk mendidik pelajar di universiti, malah juga berkongsi dan bertukar pengetahuan bersama agensi kerajaan seperti MADA.

“Apabila kita berada di lapangan dan berurusan secara langsung bersama komuniti, kita dapat mengetahui isu semasa dan permasalahan yang wujud di peringkat lapangan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pelajar universiti dapat mempelajari dan menimba pengalaman baru daripada kakitangan MADA semasa menjalankan kerja di lapangan.

“Amat penting untuk semua pihak yang berkaitan menggembleng tenaga dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air yang mencukupi dan dijamin selamat digunakan.

“Ia juga untuk pertanian seperti padi supaya padi dapat dihasilkan dan dikomersialkan pada waktu yang sudah dipersetujui ke arah menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Institut Sains Biologi (ISB), UM Dr Rosazlin Abdullah berkata, data empirikal yang diperoleh daripada aktiviti pengambilan sampel, analisis di makmal hingga interpretasi data, dijangka mampu membantu MADA membuat keputusan tepat sekiranya wujud sebarang masalah.

“Pada masa ini, dua pelajar peringkat pasca siswazah sedang menjalankan penyelidikan kesan sedimentasi terhadap kualiti air di empangan Muda dan Ahning.

“Ia termasuk kesan sumber air yang disalurkan ke kawasan sawah padi terhadap kualiti tanah. Hasil kajian yang diperoleh akan memberi data secara sainstifik kepada MADA dalam mengambil tindakan sekiranya terdapat isu berbangkit berkaitan kualiti air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:08 AM