PENUNTUT Fakulti Perniagaan dan perakaunan UM bergambar sebelum memulakan program Jalinan Masyarakat.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Kecemerlangan dalam akademik bukanlah satu-satunya pengukur sebagai siswa tetapi perlu menyeluruh termasuk memiliki kemahiran insaniah dan sifat keprihatinan yang tinggi dengan situasi di sekeliling mereka.

Menyedari hakikat itu, siswa dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya (FPPUM) sesi 2016/2017 menunjukkan keprihatinan untuk membantu murid luar bandar yang memerlukan.

Penuntut memulakan projek rintis di sebuah sekolah di Hutan Melintang, Perak di bawah program Jalinan Masyarakat UM.

Profesor Madya Dr Yusniza Kamarulzaman berkata, kokurikulum pembelajaran di UM tidak hanya menekankan aspek pencapaian akademik, tetapi turut mementingkan nilai murni seperti amalan prihatin terhadap masyarakat sekeliling terutama golongan yang lemah dan kurang berkemampuan.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pemasaran, FPP berkata, sempena program itu, UM turut menyampaikan sumbangan kelengkapan diri, set komputer dan alat tulis kepada murid sekolah berkenaan.

“Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif fakulti untuk mendekati murid luar bandar yang lemah dan kurang diberi perhatian supaya dapat membuka minda mereka serta bersemangat untuk ke menara gading satu hari nanti,” katanya.

Projek Jalinan Masyarakat yang diadakan selama tiga hari itu memberi manafaat kepada 40 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Melintang melalui pelbagai aktiviti seperti senaman aerobik, sesi perkongsian motivasi dan persiapan diri menghadapi UPSR.

Turut dijalankan aktiviti sukan murid yang diuruskan oleh 19 penuntut FPP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:02 PM