RAIS bersama pengusul.
RAIS menyampaikan ucaptama.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Selepas 46 tahun Kongres Kebudayaan Kebangsaan pertama diadakan di Universiti Malaya (UM), universiti awam itu melalui Akademi Pengajian Melayu (APM) mengadakan sesi Prakongres Budaya Khas bagi membincangkan resolusi berkenaan budaya tinggi.

Sebanyak enam sektor resolusi dibentangkan merangkumi bahasa, kandungan kreatif, warisan budaya, institusi adat Melayu, pembangunan dan penggubalan dasar atau polisi dan budaya institut pengajian tinggi (IPT) dan budaya ekonomi.

Prakongres itu dirasmikan Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Katanya, rumusan itu diperoleh hasil daripada tujuh prakongres yang dianjurkan sebelum ini bermula Mac lalu dan berakhir baru-baru ini dengan penganjuran Prakongres Pembudayaan Tamadun Tinggi dalam TN50, di Universiti Malaya (UM).

“Melalui kongres ini, kita akan menyarankan kepada kerajaan untuk menerapkan kehidupan budaya tinggi dalam pelaksanaan TN50 seterusnya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta bahasa perdagangan dalam usaha menyemarakkan kembali semangat perlembagaan dan Rukun Negara dalam kalangan masyarakat.

“Kongres menyokong penuh misi kerajaan untuk melaksanakan TN50 dengan syarat pengisian nilai tinggi budaya itu diterapkan dalam transformasi ini kerana kita dapati Perlembagaan kita hanya tinggal perlembagaan dan hanya disebut apabila ada kes di mahkamah atau hujah politik tertentu sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Prakongres Pembudayaan Tamadun Tinggi dalam TN50.

Turut hadir, Naib Canselor UM Prof Tan Sri Dr Mohd Amin Jalaludin dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

Pembudayaan tamadun tinggi merujuk kepada cara hidup bertamadun tinggi yang berasaskan nilai mulia dan dihormati meliputi sikap, pergaulan, seni bina dan warisan, bahasa serta penerapan nilai budi di segenap lapisan masyarakat.

Rais berkata, kongres turut membuat teguran mengenai pemimpin politik dengan memberi peringatan supaya mereka mula menanamkan semangat amalan budaya tinggi dalam diri masing-masing agar tidak berlaku konflik dalam kalangan ahli politik serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

“Pada masa akan datang, kita juga ingin menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dengan Rukun Negara mesti dilaksanakan dan pengertiannya tidak lagi hanya dijadikan sebagai tulisan di belakang buku latihan murid sahaja atau diperdengarkan ketika sambutan hari kemerdekaan semata-mata.

“Kongres juga mahu Majlis Raja-Raja Melayu menyedari adat Melayu dan adat diraja itu sudah banyak hilang. Jika perkara 160, Perlembagaan Persekutuan tidak diberi penegasan, pembaharuan dan pelaksanaan, maka institusi raja itu sendiri akan merasai sesuatu yang negatif atau mungkin kehilangan pengaruh pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:01 PM