MODEL bergaya bersama Mitsubishi Triton versi ditingkatkan.
PANDANGAN sisi Mitsubishi Triton yang lasak.
RUANG kargo bertudung penuh.
RIM dua tona.
SISTEM multimedia terkini.
TRANSMISI automatik lima kelajuan.
STERENG pintar pelbagai fungsi.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Pasaran kenderaan pikap kembali rancak apabila Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd melancarkan dua model versi peningkatan VGT Adventure X dan VGT Adventure yang menawarkan waranti selama lima tahun atau 200,000 kilometer.

Varian terbaru itu dijana enjin Mivec 2.4 turbo diesel DI-D Common Rail dan Geometri Turbo Bolehubah (VGT) yang menghamburkan kuasa sehingga 181PS manakala tork setinggi 430Nm.

Antara pembaharuan dilakukan termasuklah rekaan jeriji radiator hadapan lebih menyerlah dan sporty. Bagi model varian VGT, perumah lampu hadapan diisi dengan lampu HID yang diintegrasikan bersama DRL.

Ruang dalaman masih menawarkan ciri kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan susun atur papan pemuka yang kemas. Stereng juga dilengkapkan kawalan audio, cruise, bluetooth dan paparan meter baru.

Malah, bagi varian VGT, kerusi pemandu boleh dilaras pada lapan posisi berbeza secara automatik.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd, Tomoyuki Shinnishi berkata, varian terbaru itu mempunyai ciri lebih premium selain elemen keselamatan ditambah baik dengan tujuh beg udara SRS selain menerima penarafan lima bintang dalam ujian perlanggaran Program Penilaian Kereta Baru Asia Tenggara (NCAP ASEAN).

“Kami menjangkakan peningkatan perkongsian pasaran mencapai 15 peratus pada 2017 daripada 13 peratus dicatatkan tahun lalu.

“Antara ciri ditambah baik termasuk sistem Kawalan Tarikan dan Kestabilan Aktif (ASTC) bagi memastikan kenderaan dalam keadaan terkawal apabila melalui permukaan jalan licin dan lasak,” katanya.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, enam varian ditawarkan dan harga jualan asas bermula daripada RM77,390 bagi Quest MT hingga RM130,900 untuk Adventure X AT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 12:51 AM