ILI.
ILI pemilik Agak Agak.
ILI bersama rakan kongsi Basira menyediakan menu untuk pelanggan.
SELAIN hidangan utama Agak Agak turut menghidangkan kek kepada pelanggan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Sejak kecil dia melihat nenek menyediakan hidangan tengah hari untuk datuk yang diletakkan dalam mangkuk tingkat. Kemudian bekas makanan ini dibawa ke pejabat untuk dinikmati bersama rakan. Namun semakin meningkat usia dan bekerja dalam sektor korporat makan bersama tidak lagi menjadi amalan. Ia semakin ditinggalkan dek kekangan masa dan kesibukan bekerja.

Enggan tradisi ini hilang ditelan zaman, Ili Sulaiman berasakan ia perlu diteruskan kerana makan bersama keluarga waktu paling bermakna. Dari situ wujudnya kemesraan, komunikasi dua hala dan saling bertukar cerita.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan nilai kekeluargaan. Walaupun saya anak tunggal dalam keluarga, saudara-mara sebelah ibu dan bapa sangat rapat. Nenek pula sering menekankan pembelajaran cara lama, anak perempuan perlu tangkas di dapur, tahu memasak dan mengemas rumah. Itu satu kemestian jika tidak akan dibebel nenek dan diminta melakukan kerja rumah sehingga dia berpuas hati," kata Ili yang ditemui di restoran miliknya, Agak Agak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Bermula daripada situ wanita berdarah campuran Inggeris, Cina dan Sri Lanka ini mula mencipta konsep penghantaran makanan sihat di dalam mangkuk tingkat khusus kepada ibu moden yang sibuk bekerja namun ingin memberikan sajian terbaik kepada keluarga, untuk orang tua di rumah serta pekerja pejabat.

Ini kerana makanan disediakan dalam set menu yang lengkap termasuk hidangan utama berasaskan lauk, nasi putih, sayur-sayuran, ulam dan sambal belacan.

Memulakan perniagaan pada Julai 2014, Dish By Ili dianggap sesuatu yang baru dan agak unik kerana ia menampilkan mangkuk tingkat yang jarang digunakan. Malah nilai sentimental turut dirasai terutama mereka yang pernah melalui zaman itu.

“Ketika mula memperkenalkan menu mangkuk tingkat saya sendiri cukup teruja kerana perlu mendapatkan mangkuk tingkat berbeza untuk pelanggan. Lama-kelamaan ia mula mendapat perhatian apabila saya menghidangkan menu sihat, berkhasiat dan lengkap untuk seisi keluarga,” kata Ili yang pada awalnya bukan saja sebagai tukang masak tetapi juga membeli bahan basah dan penghantar makanan.

Selain ingin merealisasikan bakat dan kebolehan dalam bidang kulinari, Dish By Ili hadir selepas dia kehilangan rakan tersayang yang meninggal dunia akibat kanser darah.

“Kami sangat akrab, seperti adik-beradik. Selepas dia disahkan menghidap kanser saya cuba menyediakan hidangan bersesuaian seleranya. Kebetulan ketika itu saya cuti semester dua minggu jadi peluang ini saya gunakan sepenuhnya.

“Dia memuji masakan saya dan meminta membuka restoran suatu hari nanti. Selepas dia meninggal dunia saya terfikir untuk merealisasikan impiannya,” katanya yang terus membuat kajian mengenai perniagaan makanan yang mendapat perhatian ketika itu.

Selepas dua tahun mengendalikan Dish By Ili, Ili berasakan dia perlu melakukan sesuatu agar individu yang kurang berjaya dalam pelajaran mampu meneruskan kemahiran meneroka bidang masakan. Bersama rakan kongsi, Basira Yeusuf dia membuka Restoran Agak Agak dengan memperkenalkan konsep terbuka apabila pelanggan dapat menikmati juadah sambal melihat sendiri cef memasak di depan mata mereka.

“Saya memang suka konsep terbuka kerana ia adalah satu penghargaan buat cef untuk menonjolkan bakat memasak kepada orang ramai. Agak Agak menyediakan makanan fusion iaitu gabungan menu Timur dan Barat. Lebih menarik apabila restoran ini menjadi tempat latihan cef baru dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan mahupun luar negara,” katanya mula dikenali menerusi program Dari Mangkuk Tingkat Ili di Astro Maya HD dan program masakan digital AFC Home Cooked Malaysia.

Belajar memasak dengan nenek

Didedahkan dengan peralatan dapur pada usia tujuh tahun kala kanak-kanak seusia masih leka bermain, Ili sudah dibiasakan memasak di dapur dan menyediakan hidangan tengah hari untuk keluarga. Walaupun dipengaruhi kehidupan moden, nenek sangat mementingkan keupayaan memasak dan mengemas rumah terutama untuk anak perempuan.

“Pada usia tujuh tahun saya sudah boleh menggoreng ikan dan menyediakan hidangan utama. Saya sangat berterima kasih kepada nenek kerana memperkenalkan bidang masakan kepada saya. Jika tidak sudah pasti saya tidak menjadi seperti sekarang,” katanya yang dilahirkan di Ampang, Selangor.

Ili masih ingat bagaimana nenek meminta dia bersama sepupu memasak untuk acara keluarga pada usia remaja dan mereka mampu melakukannya dengan baik. Begitu juga apabila tiba Aidilfitri, dapur pastinya riuh rendah dengan suara Ili melengkapkan juadah istimewa di dapur.

Kemahiran memasak ini tidak hanya berhenti di situ apabila ia diteruskan ketika Ili melanjutkan pengajian ke Universiti Queen Mary di London dalam jurusan perniagaan. Sebagai satu-satunya pelajar Melayu yang mampu memasak dengan baik sudah pasti dia menjadi tumpuan.

“Akibatnya setiap kali musim perayaan saya menjadi tumpuan untuk menyediakan juadah Aidilfitri. Namun ia sedikit pun tidak membebankan malah memberikan kegembiraan kerana saya dapat menyediakan hidangan istimewa di sana,” katanya.

Lapan tahun menetap di London, Ili mencari pengalaman dengan bekerja di kafe mewah dalam bidang pemasaran dan juga pengurus acara.

Banyak yang dipelajari bermula daripada cara membuka perniagaan sehingga komunikasi dengan pelanggan dan pengalaman ini digunakan dalam pengurusan restoran Agak Agak.

“Malaysia kaya dengan pelbagai makanan, saya berharap dengan kepelbagaian ini lebih ramai pelancong datang untuk menikmati keistimewaannya setiap hidangan terutama yang ada di setiap negeri.

Inilah yang saya harapkan untuk melihat makanan Malaysia terkenal sama seperti di negara jiran Indonesia dan Singapura,” katanya jujur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 1:02 PM