ZUKRI (kiri) menyerahkan replika cek Tengku Nasariah (kanan) sambil diperhatikan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia Rozainum Ahmad.

Pertandingan Petrosains Science Show 2017 yang menjadi wadah bagi meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains kembali lagi tahun ini dengan penganjuran lebih gah menerusi penajaan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihaknya meneruskan kerjasama dengan Petrosains Sdn Bhd (Petrosains) buat kali ketiga dengan penajaan sebanyak RM600,000 bagi menjayakan pertandingan ini.

“Kami melihat inisiatif ini adalah landasan terbaik untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini khususnya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain dapat memberi peluang sama rata kepada pelajar tidak mengira latar belakang dan ekonomi.

“Penganjuran pertandingan ini juga diharap bukan saja dapat memberi impak besar kepada pelajar yang menyertainya, bahkan memberi pendedahan dan menggalakkan sains serta teknologi sebagai satu budaya hidup,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pertandingan Petrosains Science Show, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah Petrosains Izwan Ismail.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, pertandingan itu dijayakan sejak 2008 dengan sambutan yang diterima amat menggalakkan saban tahun.

Beliau berkata, sejak dianjurkan pertandingan itu berjaya memberi inspirasi dan idea baharu kepada pelajar serta guru dalam pendidikan sains, memahami aplikasi sains serta berkongsi maklumat dengan orang ramai.

Pelajar yang berminat menyertai pertandingan itu bolehlah menghantar penyertaan sebelum 31 Mei ini dengan melayari laman web di www.petrosains.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 5:45 AM