DAPATKAN bantuan pakar jika rasa diri murung.
BERBINCANG dapat bantu mengatasi masalah kemurungan.
GELISAH dan sukar tidur tanda kemurungan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Berdasarkan anggaran terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 300 juta penduduk dunia kini hidup dalam kemurungan dan ia adalah peningkatan sebanyak 18 peratus antara 2005 hingga 2015.

Seriusnya masalah kemurungan ketika ini mendorong WHO mengisytiharkan bahawa penyakit mental terbabit sebagai punca utama bagi keadaan kurang sihat dan hilang upaya di seluruh dunia. Kurang sokongan terhadap mereka dengan masalah mental, ditambah takut dan stigma, ia mencegah kebanyakan pesakit daripada menerima rawatan yang diperlukan untuk sembuh dan meneruskan kehidupan dengan sihat dan produktif.

Anggaran terbaru mengenai penghidap kemurungan itu dikeluarkan WHO bersempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut 7 April lalu dengan tema Kemurungan: Marilah Bincang dan ia juga menjadi fokus utama kempen kesihatan sepanjang tahun. Matlamat keseluruhan kempen ini adalah lebih ramai penghidap kemurungan perlu dibantu walaupun di mana mereka berada.

Pengarah Jabatan Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Dadah WHO, Dr Shekhar Saxena berkata, satu daripada langkah utama dalam kempen kesihatan mental itu adalah menangani isu-isu berkaitan prejudis dan diskriminasi.

“Stigma berterusan dikaitkan dengan penyakit mental adalah sebab mengapa kami mengambil keputusan untuk menamakan kempen ini Kemurungan: Marilah Bincang. Bagi mereka yang hidup dengan kemurungan, bercakap dengan seseorang yang mereka percaya selalunya adalah langkah pertama untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.

“Meningkatkan perbelanjaan untuk menangani masalah mental ini juga diperlukan. Dalam kebanyakan negara tidak terdapat atau sangat sedikit sokongan disediakan kepada individu dengan masalah kesihatan mental.

“Walaupun di negara berpendapatan tinggi, hampir 50 peratus rakyat dengan kemurungan tidak mendapat rawatan. Secara puratanya, kira-kira tiga peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan diperuntukkan dalam kesihatan mental, perbezaannya antara kurang satu peratus di negara berperpendapatan rendah hingga lima peratus di negara berpendapatan tinggi,” katanya, baru-baru ini.

WHO melaporkan pelaburan yang dibuat dalam menangani masalah mental memberikan pulangan berbaloi dalam ekonomi. Ini kerana, dalam setiap AS$1 (RM4.43) yang dilaburkan dalam meningkatkan skala rawatan untuk kemurungan dan keresahan memulangkan AS$4 (RM17.72) dalam bentuk kesihatan lebih baik serta keupayaan untuk bekerja.

Rawatan biasanya membabitkan sama ada terapi berbicara atau ubatan antikemurungan atau kombinasi kedua-duanya. Kedua-dua pendekatan boleh disalurkan oleh pekerja kesihatan bukan pakar tetapi mengikuti latihan kursus pendek dan menggunakan Panduan Intervensi Program Tindakan Jurang Kesihatan Mental (mhGAP) WHO.

Lebih 90 negara memperkenalkan atau meningkatkan skala yang menyediakan rawatan untuk kemurungan dan masalah mental lain menggunakan Panduan Intervensi berkenaan.

Menurut kajian yang diterajui WHO yang mengira kos rawatan dan hasil keputusan kesihatan di 36 negara untuk 15 tahun akan datang iaitu mulai 2016 hingga 2030, kadar rendah kesedaran dan akses penjagaan kemurungan dan masalah mental lain yang biasa seperti keresahan menyebabkan kerugian dalam ekonomi global kira-kira AS$1 trilion setiap tahun.

Kerugian sebegini sudah tentu membabitkan banyak pihak seperti isi rumah apabila satu keluarga hilang pergantungan ekonomi jika ketua rumah tidak boleh bekerja, pihak majikan juga terjejas apabila pekerjanya kurang produktif dan tidak mampu lagi bekerja.

Seterusnya, kerajaan turut menanggung beban apabila perlu menanggung perbelanjaan kesihatan dan kebajikan dengan lebih tinggi. WHO juga mengenal pasti kaitan yang kuat di antara kemurungan dan penyakit tidak berjangkit lain. Kemurungan meningkatkan risiko masalah penggunaan ubatan dan penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.

Sebaliknya, penghidap penyakit terbabit juga berdepan risiko tinggi menghidap kemurungan.

Dr Saxena berkata, kemurungan juga adalah faktor risiko yang penting bagi kes bunuh diri yang meragut puluhan ribu nyawa setiap tahun. Oleh itu, memahami dengan lebih baik mengenai masalah kemurungan dan bagaimana ia boleh dirawat adalah permulaan.

“Apa yang perlu diikuti adalah mengekalkan peningkatan skala akses perkhidmatan kesihatan mental kepada semua orang termasuk penduduk kawasan pedalaman.

“Kemurungan adalah penyakit mental yang biasa dihidapi dicirikan dengan kesedihan berpanjangan dan hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, disusuli ketidakupayaan menjalankan aktiviti harian selam 14 hari atau lebih.

“Penghidap kemurungan juga biasanya mengalami beberapa tanda seperti hilang tenaga, perubahan selera, terlebih atau kurang tidur, kurang penumpuan, tidak dapat membuat keputusan, gelisah, rasa diri tidak berguna, rasa bersalah, putus asa dan berniat mencederakan diri atau membunuh diri,” katanya.

Mengenai kempen kesihatan sempena sambutan berkenaan, terasnya adalah kepentingan berbincang atau meluahkan isi hati yang terpendam yang menjadi punca kemurungan sebagai komponen penting dalam proses pemulihan. Stigma berputar penyakit mental termasuk kemurungan kekal menjadi penghalang kepada penghidapnya mendapatkan bantuan.

Bercakap mengenai kemurungan dialami sama ada dengan anggota keluarga, rakan atau pakar dalam kumpulan lebih besar seperti di sekolah, tempat kerja, tatacara sosial atau dalam domain awam atau dalam rangkaian media sosial membantu merobohkan stigma terbabit dan mendorong lebih ramai penghidap mendapatkan bantuan.

Disebabkan kemurungan boleh menjejaskan sesiapa sahaja, oleh itu kempen ini ditujukan kepada semua orang dan WHO memilih untuk memberi perhatian tertentu kepada tiga kumpulan iaitu remaja dan belia, wanita yang baru melahirkan anak dan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Matlamat keseluruhan dalam kempen setahun ini bermula pada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Oktober tahun lalu, adalah bagi mendapatkan lebih ramai penghidap kemurungan mencari dan mendapatkan bantuan.

Namun, kempen menyasarkan untuk mendidik orang awam mengenai punca dan akibat daripada masalah kemurungan serta bentuk pertolongan yang boleh diberi bagi mencegah dan merawatnya. Penghidap kemurungan diminta keluar dari dunia gelap mereka dan mencari bantuan serta anggota keluarga, rakan dan mereka yang hidup dalam kemurungan dapat memberikan sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:31 AM