Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Microsoft Malaysia menjangkakan tiga inovasi bakal mendominasi tahun ini termasuk Internet untuk segalanya (IoT), perkomputeran 'cloud' dan data besar yang meningkatkan tahap produktiviti di negara ini.

Pegawai Teknologi Negaranya, Dr Dzaharudin Mansor (gambar) berkata, ketiga-tiga inovasi terbabit bakal menjadi trend dan tidak sepatutnya dipandang rendah terutama dalam persekitaran yang mencabar tahun ini.

"Ia memandangkan kita memasuki era yang mana setoran dan pengurusan data kini menjadi penting seterusnya menyaksikan perkomputeran cloud akan menjadi ejen perubahan," katanya.

Beliau memberi contoh, syarikat konglomerat seperti ThyssenKrupp Elevator bukan saja menyediakan perkhidmatan boleh dipercayai kepada pelanggannya, tetapi memasukkan data dalam sistem cloud.

"Ia bermakna, pelbagai data seperti kawalan suhu, kefungsian pintu dan kelajuan lif direkodkan, dihantar melalui cloud dan mempunyai rekod dalam bentuk pemuka yang menggunakan perkhidmatan IoT Microsoft Azure.

"Data yang dihasilkan nanti diproses dalam bentuk visual, masa sebenar dan membenarkan penyelenggara menyelesaikan masalah dengan pantas serta berkesan," katanya.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) sebelum ini menjangkakan perniagaan cloud akan bertambah 53 peratus tahun ke tahun dengan sejumlah pendapatan bernilai RM1.5 bilion tahun ini.

Manakala segmen pendapatan data besar akan mencapai RM720 juta menjelang 2020.

Pertumbuhan data di negara ini dijangka mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya ia dianalisis dengan tepat.

Ia sudah pasti membuka segmen baru dalam inovasi di Malaysia untuk mening­katkan kemajuan negara dalam teknologi yang menjadi elemen penting untuk membangun dan mempunyai kapasiti mendorong kemajuan dalam pelbagai sektor.

Malah, data besar tidak lagi terhad kepada industri utama seperti perniagaan dan kewangan, tetapi ia kini merangkumi bidang kritikal pembangunan negara seperti perubatan.

Kebanyakan kerajaan di dunia sudah mula memandang serius strategi data besar yang komplikated dan kemudian menganalisisnya secara terperinci.

Misalnya, terdapat beberapa kerajaan memanfaatkan data besar dalam menangani bencana alam seperti tsunami.

Kemudahan analisis data besar mampu menangani masalah berkaitan kerajaan seperti kesesakan jalan raya dengan meng­kaji secara menyeluruh beberapa elemen secara terperinci menggunakan teknologi.

Pengumpulan data pesakit dalam satu sistem komputer secara digital pula memudahkan doktor mengenal pasti punca penyakit dengan lebih pantas, sekali gus menjimatkan masa, malah mampu menyelamatkan nyawa pesakit yang mung­kin berada dalam keadaan kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:00 AM