MOHD Syakir turut menawarkan tiga pakej perniagaan aiskrim kepada usahawan baru di negara ini.
BIJAK mencari peluang dalam bidang perniagaan.
DAPAT tempat di hati pelanggan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Apabila cuaca panas terik, aiskrim antara pilihan pencuci mulut untuk menghilangkan dahaga dan menyejukkan tekak tanpa mengira usia.

Faktor cuaca tidak menentu di negara ini terutama apabila terlalu panas, membuka peluang dan idea kepada Myboss Enterprise yang memulakan perniagan aiskrim lembut sejak 2010.

Di peringkat awal perniagaan, Myboss Enterprise yang dimiliki sepenuhnya graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Syakir Sa’adon, 31, membuka kios pertama di UiTM Shah Alam dengan kerjasama Koperasi UiTM Berhad.

Bermula dengan mengambil pakej kios daripada sebuah syarikat aiskrim tempatan, Mohd Syakir kemudian mengeluarkan modal membeli domain laman sesawang syarikat terbabit ketika syarikat itu mengalami masalah.

Mohd Syakir menstruktur semula domain laman sesawang itu yang memperlihatkan peningkatan tempahan aiskrim mula diterima secara mendadak.

Dia kemudian melakukan penjenamaan semula jenama aiskrim itu yang kini dikenali sebagai Ohsemm Soft Ice Cream.

“Faktor cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun memberikan peluang yang konsisten kepada saya dalam menjalankan perniagaan ini.

“Selain digemari kanak-kanak, aiskrim turut disukai dewasa. Setiap tempahan perisa aiskrim dibuat segar untuk setiap acara dan saya tidak akan membawa baki aiskrim dari majlis sebelumnya ke majlis lain bagi memastikan kualiti serta kesegaran terjaga,” katanya.

Mohd Syakir berkata, terdapat tiga perisa aiskrim yang boleh dipilih pelanggan iaitu coklat, vanila dan strawberi manakala perisa kegemaran ramai ialah coklat serta vanila.

“Selepas beroperasi selama hampir tujuh tahun, saya kini menumpukan jualan secara tempahan untuk pelbagai majlis antaranya majlis korporat, perkahwinan dan ulang tahun hari lahir.

“Selain mempunyai pembantu separuh masa, saya memilih melakukan semua tugasan sendiri kerana mahukan kesempurnaan,” katanya.

Saingin sengit

Akur dengan persaingan yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Mohd Syakir semakin rancak memperkukuhkan jenama syarikatnya dengan mempelbagaikan strategi pemasaran terkini supaya jenamanya semakin dikenali.

“Kadangkala pelanggan mahukan aiskrim dengan harga murah. Satu kon aiskrim yang saya jual berharga RM1 dan harga ini dikekalkan sejak 2010.

“Alhamdulillah, pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan serta aiskrim yang saya sediakan malah juga menerima tempahan berulang daripada pelanggan,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga aktif mempromosikan aiskrimnya melalui Facebook dan Instagram.

“Syukur, saya mula mendapat tempahan berskala besar dan bermula 2015, saya mula menawarkan pakej kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan aiskrim.

“Tawaran pakej itu hampir sama dengan pakej yang saya ambil ketika bermula dulu. Kini Ohsemm Soft Ice Cream menawarkan peluang perniagaan untuk usahawan di seluruh Malaysia melalui pakej lori, kios dan mesin,” katanya.

Mohd Syakir berkata, peserta untuk ketiga-tiga pakej itu terlebih dulu diberi latihan dan bimbingan daripada ibu pejabat untuk memastikan kelancaran setiap operasi.

“Terbaru, kami bakal beroperasi di Sabah melalui ejen pertama kami di sana yang mengambil pakej lori. Saya juga memasang impian untuk menjadi pusat sehenti tempahan aiskrim buat semua jenama aiskrim.

“Saya amat berharap jenama aiskrim lembut saya ini semakin dikenali dan mendapat tempat di hati pelanggan sekali gus pada masa sama membantu ejen menjana pendapatan bersama,” katanya.

Maklumat lanjut me­ngenai Ohsemm Soft Ice Cream boleh didapati dengan melayari laman Instagram @ohsemm_soft_ice_ cream atau Facebook Ohsemm soft ice cream - HQ dan laman www.aiskrimohsemm.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 3:26 PM