KINI aktif menjalankan kerja sosial.
KHAIRUDDIN menunjukkan buku yang dihasilkan mengenai perjalanan hidupnya.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Khairuddin Aziz, 39, atau lebih dikenali sebagai Khai Aziz pernah melalui zaman kejahilan. Namun, dia bersyukur kerana kisah silam penuh liku itu berjaya dihadapi dengan semangat yang lebih positif.

Rakan memanggil dirinya sebagai Ein Second Combat, Khai ialah pemuzik punk rock, aktivis sosial, penceramah dan penulis bebas yang kini giat menjalankan misi kemasyarakatan di sekitar serta luar Lembah Klang.

Namanya terkenal selama lebih 20 tahun dengan ideologi mempromosikan kehidupan yang bebas dadah dan mabuk, bersikap mental positif, ‘straight edge’ dan gaya hidup bebas racun.

Penulis buku Aku Anak Punk ini memiliki kisah menarik untuk diceritakan bermula zaman kejahilannya hingga berubah menjadi insan yang lebih positif.

“Saya berasal dari Klang dan dilahirkan dalam keluarga sederhana. Saya memiliki seorang anak manakala isteri juga terbabit dengan aktiviti sukarela.

“Saya pekerja sosial dan memberi fokus terhadap gerakan antidadah, bantuan gelandangan dan orang yang memerlukan. Saya ada empat beradik dan semuanya meminati budaya punk.

“Saya lebih tertarik untuk menyertai budaya punk kerana terpengaruh dengan gaya hidup abang yang tampak ‘cool’ di mata masyarakat,” katanya.

Jelasnya, pada usia masih mentah, apa saja yang abang lakukan, dia mengikut tanpa mengetahui maksud punk yang sebenar kerana ingin mencari identiti sendiri selain mahu dipandang lebih hebat.

Khairuddin mula mengenali rokok dan ganja untuk melupakan masalah. Namun, dia tidak menyesal sebaliknya menjadikan masa lampau sebagai pengalaman yang mematangkan diri.

Pada usia 17 tahun pula, dia sudah memiliki kumpulan muzik (band) sendiri. Menariknya mengenai ahli kumpulannya, Second Combat, mereka berkongsi isu sama iaitu dadah sama ada membabitkan diri sendiri atau keluarga terdekat.

Namun selepas melihat nasib menimpa abangnya Khairuddin memutuskan untuk menjauhi dadah. Dalam kumpulan itu, ha­nya dia seorang saja yang merokok dan ada kalanya menyentuh ganja serta alkohol apabila bersama rakan papan selaju (skateboard) semata-mata mahu kelihatan hebat, dewasa dan diterima dalam kumpulan mereka. Siapa sangka, akhirnya kesedaran timbul, dia mula berubah serta tekad berhenti dan menyertai ‘straight edge’.

Impian untuk menyertai syarikat rakaman luar negara akhirnya tercapai dan berjaya menjadi sebahagian keluarga Commitment Records. Edaran albumnya dalam bentuk piring hitam masuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat selain dijemput menyertai jelajah Eropah pada 2007.

Selama sebulan merantau di negara asing, banyak yang dapat dilihat dari segi perbezaan budaya punk di sana dan mengambil pengajaran untuk dibawa pulang ke tanah air.

Ubah pemikiran, gaya hidup

“Ramai mengetahui saya pengamal ideologi ‘straight edge’ bermaksud tidak minum arak, dadah dan sudah berkahwin - ‘bersih’ sepenuhnya serta menjadi prihatin terhadap masalah sekeliling.

“Salah satu sebab saya mahu berubah kerana abang. Abang memilih haluan salah dan menjadi penagih dadah tegar selama 15 tahun. Sampai ke satu tahap, abang cuba untuk berubah namun tidak diterima oleh masyarakat sekeliling dan menemui ajal pada tahun lalu.

“Tidak mahu menerima nasib sama seperti abang, saya tekad berubah. Malah, abang juga menjadi sebab saya aktif dalam kerja sosial ini,” katanya.

Jelasnya, salah satu cara dia menyampaikan mesej antidadah adalah dengan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) Drug Free Youth Association (DFYA).

Organisasi ini diwujudkan untuk memupuk remaja menjauhi dadah, menjalani hidup secara positif dan melakukan kebaikan. Ia membabitkan belia yang meminati muzik dan sukan lasak.

Selain itu, pertubuhan ini juga cuba mempromosikan cara hidup sihat dan positif melalui lagu yang dihasilkan. Kumpulan pemuzik yang bernaung di bawah DFYA juga bersih daripada semua gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.

Malah, pertubuhan itu juga menganjurkan kempen bagi mempromosikan nilai hidup positif seperti Anti-Racism Day, Fight Global Warming, Drug Free Campaigns, Straight Edge dan Bridging Oceans.

Edge Day ialah acara tahunan menggabungkan band tempatan dan luar negara yang bebas daripada penyalahgunaan dadah, rokok dan alkohol.

Selain itu, Khairuddin juga aktif menyertai pelbagai NGO dalam mahupun luar negara. Apabila mengimbau kembali zaman mudanya, dia akui pernah bekerja sebagai pelayan restoran, menjual produk dari rumah ke rumah, pembancuh air kopi dan tidak ketinggalan berkhidmat di institusi kewangan.

“Selepas bosan makan gaji, saya belajar untuk menubuhkan NGO dan bertahan hingga sekarang. Bukan mudah sebenarnya menjadi pekerja sosial kerana jiwa perlu cekal dan hebat.

“Pada masa sama, kita perlu cukup tenaga dan bersemangat dalam menghadapi pelbagai cabaran yang muncul satu persatu. Namun, kehadiran rakan NGO lain dalam program amal meringankan beban.

“Ia sekali gus dapat meneruskan usaha untuk membela nasib golongan yang memerlukan dan sering dipandang hina segelintir masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 11:45 AM