NORAZIMAH.
BERSAMA produk yang dihasilkan.
NORAZIMAH memantau proses pembuatan produk.
GIM Cosmetic Industries yang dibangunkan bersama suami tercinta.
BERSAMA kakitangan GIM Cosmetic Industries.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Gaya penampilan wanita ini selalunya ringkas dan bersahaja. Langkahnya molek, senyumnya manis. Namun, andai bertentang mata, bersembang mengenai formula kecantikan dan produk kosmetik, tutur katanya kemas, petah melontar pandangan serta yakin berkongsi idea.

Nama Norazimah Abd Jalil mungkin tidak sepopular pengasas produk kecantikan yang wajahnya banyak terpampang di papan iklan sepanjang lebuh raya.

Bagaimanapun, wanita ini sebenarnya menggenggam puluhan rahsia kejayaan bagi ratusan produk jenama tempatan yang dihasilkan di kilangnya.

Mengenali sisi kental wanita berasal dari Temerloh, Pahang ini, Norazimah sebenarnya baru tiga tahun bertapak dalam industri sebagai pengasas bersama GIM Cosmetics Industries Sdn Bhd (GIM).

Walaupun memiliki ijazah sarjana teknologi maklumat, Norazimah kekal menyinar dalam industri pembuatan kosmetik kerana minatnya yang mendalam terhadap kecantikan dan solekan.

“Saya berada dalam industri perbankan selama tujuh tahun sebagai juruaudit teknologi maklumat. Dalam tempoh sama, lima tahun saya aktif sebagai jurusolek sambilan. Kedua-dua bidang itu amat dekat di hati sehinggalah suami (Azizi Mohd) mempelawa untuk menyertai GIM.

“Pada awalnya, saya mendapat tentangan hebat daripada keluarga. Sebagai anak sulung yang mempunyai taraf pendidikan tinggi, mak ayah lebih suka jika saya mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan terjamin. Kebetulan waktu itu, saya menyandang

jawatan sebagai ketua jabatan, pastinya mak dan ayah dihambat perasaan bimbang.

“Alhamdulillah, selepas meyakinkan kedua-dua orang tua, saya mengorak juga langkah menyertai GIM dengan perasaan berat dan berbaur. Saya sematkan keyakinan, nekad dengan usaha dan selebihnya percaya kepada rezeki Allah SWT,” katanya.

Memajukan GIM

Siapa sangka wanita yang nampak lembut pada luaran ini sebenarnya berhati waja. Langkah pertamanya selaku Pengarah Jualan dan Pemasaran GIM membawa syarat yang satu, iaitu kebebasan untuk dirinya memilih ahli kimia yang akan bersatu tenaga dan idea dengannya.

“Lebih 15 permohonan saya terima dan setiap seorang daripada mereka ditemu duga secara lisan sebelum diuji menghasilkan sampel kosmetik. Hasilnya, saya mendapat seorang pakar kimia yang bukan saja berbakat, tetapi berupaya menepati kehendak dalam menghasilkan sesuatu formula produk.

“Dari situ, satu demi satu jenama yang kami hasilkan mendapat tempat di hati pemilik produk dan pengguna. Kata kunci yang saya pegang sehingga kini adalah menghasilkan produk yang bukan saja untuk cantik, tetapi mampu merawat wajah. Saya mahu mencipta nilai tambah dalam setiap produk GIM supaya selari dengan kehendak pasaran,” katanya.

Sudah tiga tahun berlalu sejak hari pertama wanita ini menyertai GIM dan jualan syarikat juga mencatatkan peningkatan lebih 50 peratus berbanding sebelumnya.

“Tahun ini GIM mengorak langkah lebih jauh dengan sasaran membuka tiga lagi kilang termasuk untuk pengeluaran produk makanan dan minuman tambahan. Malah, awal tahun ini kami dikunjungi beberapa delegasi dari luar negara yang berhasrat menghasilkan produk di GIM.

“Apabila saya sendiri bertanya mengapa mereka memilih GIM, jawapan yang diberi cukup ringkas. Kebanyakan pengusaha kosmetik di luar negara tahu Malaysia ialah hab halal yang diyakini dan GIM dipercayai berkebolehan menghasilkan produk berkualiti setanding jenama antarabangsa.

“Bagi tujuan itu, kami dalam proses melengkapkan segala dokumentasi yang diperlukan untuk tujuan pemasaran produk ke luar negara. Jika semuanya berjalan lancar, produk GIM mungkin akan mula menembusi pasaran luar tahun depan,” katanya.

Peka pada perubahan

Tidak kira industri mana yang diceburi, cabaran tetap akan menanti sebagai ujian untuk melihat sejauh mana ketahanan seseorang. Bagi ibu kepada dua cahaya mata ini, sokongan keluarga banyak membantu dirinya untuk terus berdiri teguh dalam industri.

“Saya sentiasa meletakkan kepercayaan pada apa yang saya lakukan. Umpamanya, dalam industri kosmetik ini, wanita dan kecantikan tidak akan terpisah. Namun cantik itu perlulah dibentuk dengan produk yang selamat.

“Generasi muda hari ini sudah semakin bijak menilai perkara baik atau sebaliknya untuk diri mereka sendiri. Jadi, ini juga cabaran besar untuk saya, ahli kimia dan kakitangan GIM keseluruhannya. Kami perlu sentiasa peka dengan perubahan dan kehendak pelanggan.

“Paling utama, saya perlu pastikan GIM mampu mengekalkan formulasi terbaik untuk setiap produk yang dihasilkan.

Bagi tujuan itu, ahli kimia yang bertanggungjawab dalam bancuhan kosmetik diberi latihan khusus supaya sentiasa bersedia dengan perubahan,” katanya.

Selain itu, banyak lagi cabaran sampingan yang terpaksa didepani untuk memastikan GIM sentiasa di atas. Isu pembekal dan bebanan kos akibat jatuhan ringgit bagaimanapun ditangani secara profesional demi kelangsungan syarikat.

“Bagaimanapun, saya optimis untuk mengikat kolaborasi dengan lebih banyak syarikat luar pada masa akan datang. Pada masa sama, kami juga mahu menjalin kerjasama dengan universiti yang berminat melebarkan penyelidikan produk halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 11:42 AM