MUSTAPA (tengah) ketika sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman sempena LIMA’17 di Langkawi. Turut sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan (kanan).
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Langkawi: Industri aeroangkasa dijangka berkembang tujuh peratus pada tahun ini dengan sektor pembuatan aero menyumbang 55 peratus bagi pendapatan keseluruhan industri.

Sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dijangka berkembang terutama dalam segmen enjin dan komponen enjin dengan jangkaan pendapatan RM6 bilion pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, industri aeroangkasa memiliki prospek yang baik pada tahun ini dipacu permintaan pasaran Asia.

“Sejak lima tahun lalu, industri ini berkembang pantas dan saya yakin ia akan terus berkembang dan meningkat pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman dan perjanjian bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA’17) di sini, semalam.

Pada tahun lalu, industri aeroangkasa mencatatkan pendapatan RM12.7 bilion membabitkan lebih 200 syarikat.

Ia turut menjana eksport bernilai RM5.53 bilion pada 2016 iaitu peningkatan 32.6 peratus berbanding 2015 dan nilai pelaburan diluluskan RM1.6 bilion membabitkan RM673.9 juta pelaburan tempatan dan RM889.4 juta (pelaburan asing).

Beliau berkata, kerajaan melihat industri aeroangkasa sebagai sektor kritikal di mana ia menawarkan banyak peluang untuk pemindahan teknologi terkini dalam kejuruteraan, elektronik, bahan komposit, sistem bersepadu, MRO dan kajian serta pembangunan.

“Kami akan terus memantau kemajuan industri ini kerana ia adalah industri penting bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti mana digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11),” katanya.

Sementara itu, majlis menyaksikan lapan perjanjian ditandatangani antara pelbagai pihak dalam industri aeroangkasa bagi mewujudkan ekosistem lengkap membabitkan pembangunan modal insan, kajian dan pembangunan, inovasi dan komponen pembuatan.

Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengadakan acara prapelancaran edisi terkini Laporan Industri Aeroangkasa Malaysia (AIR) yang memaparkan prestasi terkini industri itu berdasarkan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:04 AM