BUAH manggis enak dimakan segar.
myMetro

Manggis ialah sejenis pokok buah-buahan tropika yang berasal dari Malaysia. Kebanyakan ditanam di Asia Tenggara dan sedikit di India, Sri Lanka, Australia, Brazil dan Amerika Tengah.

Musim manggis seiring dengan musim durian iaitu musim pertama antara bulan Februari hingga Ogos dan musim kedua Oktober hingga Disember.

Manggis dibiak menggunakan biji benih dan ada juga secara cantuman. Penanaman melalui biji benih memerlukan masa lima hingga lapan tahun untuk berbuah.

Manakala pembiakan secara cantuman mula berbuah dalam masa empat tahun.

Manggis memiliki batang yang tegak lurus, rendang dengan ranting atau dahan yang banyak serta daun yang lebat.

Bahagian batang pokok mengeluarkan resin atau getah yang berwarna kuning pekat.

Kulit buah manggis agak keras dengan diameter empat hingga 6 sentimeter. Isi buah manggis berwarna putih dan isinya berulas-ulas iaitu enam hingga tujuh ulas bergantung kepada saiz dan kematangan.

Buah manggis enak dimakan segar dan isinya boleh dibuat jem dan minuman kesihatan atau jus. Kulit pokok atau kulit buah manggis yang dikeringkan, direbus dan airnya diminum bagi mengubati cirit-birit.

Bahagian yang digunakan dalam perubatan tradisional ialah akar, daun, kulit pokok dan kulit buah.

Sumber - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 11:05 AM