MUHAMMAD Aril
SANJANA
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta kerjasama orang ramai mengesan waris ibu bapa kandung kepada lapan kanak-kanak bagi membantu pihak mahkamah membuat keputusan berkenaan penempatan kanak-kanak terbabit.

Bagi kes pertama, seorang kanak-kanak perempuan, Selvamary Arokianathan berusia tujuh tahun kini ditempatkan di institusi JKM sejak September 2009 setelah ditinggalkan ibu kandung di wad bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL). Alamat terakhir ibu kandungnya adalah di Kampung Jawa, Klang, Selangor. Sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pelindung, Norizan Mohd Sidik di talian 03-26124000/4126.

Bagi kes kedua, seorang kanak-kanak perempuan bernama Rubini, berusia tujuh bulan dan berbangsa India ditinggalkan di dalam peti pelindung bayi di KPJ Hospital Tawakal pada 1 Julai 2016.

Sebarang maklumat mengenainya boleh hubungi Pelindung, Siti Sarah Khairul Anuar di talian 03-26124000/4040.

Bagi kes ketiga, seorang kanak-kanak lelaki Aryan Mikhail Abdullah, berusia empat bulan yang ditinggalkan ibu kandung pada 26 September tahun lalu dan dijumpai orang ramai di sebuah tiang dalam surau di Setapak, Kuala Lumpur. Sebarang maklumat boleh hubungi Pelindung, Ahmad Sofiyan Mohamad Redzwan di 03-26124000/4121.

Bagi kes keempat, seorang kanak-kanak lelaki, Ali Alias, 12, ditemui berkeliaran di Masjid Negara pada 20 Februari lalu. Hasil siasatan pelindung didapati kanak-kanak ini pernah tinggal di rumah anak yatim Baitul Nurawwdah, Puchong. Sebarang maklumat hubungi pegawai Pelindung JKM, Zainal Arief Zainal Abidin di 03-26124000/4123.

Bagi kes kelima, seorang kanak-kanak perempuan, Nur Imani berusia setahun menghidap penyakit ‘Left Congenital Diaphragmatic Hernia’. Setelah lebih kurang dua bulan di HKL, ibu kandung kanak-kanak ini menghilangkan diri dan tidak muncul. Ibu kandung kanak-kanak bernama Ropiana seorang warganegara Indonesia dan alamat terakhir adalah di Kampung Pak Mahat Kem Padang Kuantan, Pahang. Sebarang maklumat hubungi Pelindung JKM, Zainal Arief Zainal Abidin di talian 03-26124000/4123.

Bagi kes keenam, pihak JKM mencari waris kanak-kanak perempuan berumur tujuh bulan yang ditinggalkan di Vista Komanwel C, Bukit Jalil. Sebarang maklumat hubungi Pelindung, Rohana Sulaiman di 03-26124000/4123.

Bagi kes ketujuh, seorang kanak-kanak perempuan Sanjana dilahirkan ibunya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 10 November 2016. Dipercayai ibu kandung kanak-kanak itu melarikan diri dan tidak menjenguk anaknya selepas itu. Ibu kanak-kanak bernama Sharmila Manikavasahan. Untuk sebarang maklumat hubungi Pelindung, Zaidi Zakaria di talian 03-33413703/03-33413913.

Bagi kes kelapan, kanak-kanak lelaki bernama Muhammad Aril Amri Mohd Adam yang dimasukkan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Disember 2016 kerana terbabit kemalangan jalan raya. Ibu kandung dan bakal bapa tiri meninggal dunia dalam kemalangan dan diharap waris kepada bapa kandung atau waris yang sah tampil ke JKM Klang. Sebarang maklumat hubungi Pelindung, Zaidi Zakaria di talian 03-33413703 /03-3341 3913.

Orang ramai yang mengenali ibu bapa kandung atau waris kanak-kanak ini boleh merujuk kepada JKM atau hubungi setiap pegawai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 9:18 AM