V Shem (kanan) dan Wee Kiong. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua beregu utama negara berjaya mengikut jejak Datuk Lee Chong Wei untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England yang berlangsung di Birmingham.

Beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong hanya memerlukan 28 minit untuk menyingkirkan pasangan China Liu Xiaolong/Xu Chen pada perlawanan pusingan kedua yang berlangsung awal pagi tadi.

Pasangan negara yang kini menduduki ranking utama dunia menang mudah ke atas gandingan China 21-12, 21-16 untuk berdepan pilihan keenam Li Junhui/Liu Yu Chen dari China.

Gandingan dari negara tembok besar sebelum itu mengetepikan pasangan Thailand Bodin Isara/Nipitphon Phuangphuatpet 21-18, 21-18.

Pasangan beregu campuran utama negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying pula dipaksa bekerja keras sebelum menempah slot ke suku akhir kejohanan itu.

Gandingan negara yang kini menduduki ranking keenam dunia itu mengetepikan Zhang Nan/Li Yinhui dari China 9-21, 23-21, 21-17 pada perlawanan pusingan kedua yang berlarutan selama lebih satu jam.

Pasangan negara dijadual berdepan gandingan dari pusingan kelayakan Wang Yilyu/Huang Dongping dari China yang mengejutkan rakan senegara Zheng Siweng/Chen Qingchen yang juga pilihan utama kejohanan 24-22, 21-15.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara Tan Kian Meng/Lai Pei Jing gagal ke suku akhir apabila tewas kepada gandingan baharu dari Korea Selatan Yoo Yeon Seong/Kim Ha Na 15-21, 9-21.

Turut terkandas, beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei yang dipaksa bermain rubber set sebelum tunduk kepada pasangan Korea Selatan Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan.

Vivian/Khe Wei yang mempamerkan aksi meyakinkan untuk menang set pertama 21-17, bagaimanapun gagal bertahan apabila tewas set kedua dan ketiga 12-21, 17-21 sekali gus gagal ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 9:07 AM