Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan pertemuan antara penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik dengan dua wanita aktivis hak asasi manusia, Asiah Abd Jalil dan Siti Kassim bertujuan untuk berbincang dan diharap dapat berlangsung dengan harmoni serta bijaksana.

Pegawai khas di Pejabat Penasihat Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Ilmuan Malaysia, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, menegaskan pertemuan itu bukan bertujuan untuk ‘membuli’.

“Saya hanya mahu kita sesama Islam duduk bersama dan berbincang.

"Saya sudah menghubungi Dr Zakir mengenai perkara ini dan beliau memberikan reaksi positif dan bersetuju untuk bertemu kedua-dua mereka dengan syarat pertemuan itu bermanfaat serta berniat baik," katanya ketika ditemui Harian Metro, mengulas mengenai dakwaan terhadap Dr Zakir sebagai mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif mengadakan pertemuan antara Dr Zakir dengan Asiah dan Siti Kassim (peguam) dalam masa terdekat ini bagi mengelak perkara negatif.

Menurutnya, beliau menganggap Siti Kassim dan Asiah kerap muncul di media dan laman sosial termasuk memperjuangkan isu berkaitan hukum Islam selain turut menyertai banyak demonstrasi di negara ini.

Beliau berharap Siti Kassim dan Asiah datang berbincang, terutama untuk menangani dan menyelesaikan apa saja isu.

“Saya harap pertemuan itu berlangsung dengan harmoni dan bijaksana. Setiap manusia ada kelemahan dan kekurangannya, begitu juga Dr Zakir. Beliau bukan nabi.

“Bagi mencapai keamanan dan kesejahteraan, kita sepatutnya mengkaji berdasarkan fakta, buat perbandingan dan analisa, bukan memusing fakta namun berhujah dengan cara yang benar," katanya.

Sementara itu, Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) dalam kenyataan hari ini, menyatakan sokongan penuh terhadap Dr Zakir.

"Kami menggesa agar kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab," kata kenyataan itu.

Menerusi status Asiah di Facebook menggunakan nama Asiah Abd Jalil, memaklumkan beliau dan Siti Kassim mengambil keputusan untuk menjadi sebahagian plaintif dalam saman sivil yang difailkan di mahkamah.

"Saya dan dia (Siti Kassim) tidak akan terjejas oleh mana-mana serangan, ancaman, fatwa dan sebagainya.

"Daripada 19 Plaintif dalam saman sivil yang difailkan untuk mengharamkan Dr Zakir Naik di Malaysia, kenapa mensasarkan kepada saya dan Siti Kassim, hanya kerana kami berdua ini wanita? Jelas sekali wanita Islam dilihat sebagai sasaran mudah," katanya di FB.

Menurutnya, penceramah antarabangsa itu terkenal sebagai pakar dalam perbandingan agama dan apakah tujuan penganjuran pertemuan (berdebat) dengannya dan Siti Kassim yang sudah Islam.

"Daripada 19 plaintif lain, ada ramai individu bukan Islam yang Dr Zakir boleh pilih. Kes ini secara rasmi menjadi kes mahkamah. Biarlah mahkamah membuat keputusan dalam perkara ini.

"Afidavit sokongan juga sudah difailkan di mahkamah. Ia bertentangan dengan etika undang-undang untuk mendedahkan kandungan dokumen sebelum bermulanya prosiding mahkamah.

"Terlalu awal untuk mendesak kami membentangkan bukti dan justifikasi mengenai dakwaan kami terhadap Dr. Zakir Naik," tambahnya di FB.

Sebelum ini, 19 rakyat Malaysia memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir Naik sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Plaintif terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi manusia, ahli perniagaan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 11:25 PM