Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my


Dekorasi menawan bukan sekadar pencetus damai kepada penghuni kediaman, tetapi menjadi tarikan kepada tetamu yang bertandang.

Begitulah pilihan pasa­ngan Zakir Ali Zakaria, 43, dan pasangannya, Noor Afida Zakaria, 38, dari Taman Coral Height Sikamat Seremban, Negeri Sembilan.

Ternyata aura pada kediaman pasangan itu berdasarkan keindahan penataan hiasan dalaman kediaman mereka yang mengete­ngahkan kesesuaian konsep dekorasi dan kombinasi aksesori hiasan yang eksklusif.

Sentuhan idea di ruang tamu diserlahkan seindah mungkin apabila pasa­ngan usahawan itu menggunakan kreativiti tersendiri memanfaatkan setiap ruang kosong di rumah teres dua tingkat lot tepi itu.

Set perabot dan aksesori kontemporari termasuk hiasan jati digabungkan bersama manakala latar dinding yang dihiasi elemen segar warna alam sekali pun tampak ringkas.

"Saya memilih set sofa utama berwarna gelap untuk disesuaikan dengan corak kertas dinding dan langsir yang cerah. Gabu­ngan dua warna itu menampakkan gaya moden dan eksklusif sekali gus menyerlahkan konsep kontemporari yang ingin diketengahkan.

"Sebenarnya saya inginkan kelainan bagi menampakkan penataan yang unik dan berbeza menerusi adunan warna latar," kata Noor Afida.

Ruang tamu pasangan ini tampak lebih menarik dengan dinding sudut kiri dihias dengan rak kayu jati manakala sudut di sebelah ruang tamu pula dilengkapi dengan ruang meja makan yang menyaksikan set kerusi jati yang menampakkan eksklusif.

"Untuk membangkit­kan suasana romantis, saya menggunakan cahaya yang samar dan langsir putih yang mewarnai ruang tamu.

"Saya suka warna lembut dan terang kerana mampu meleraikan kekusutan fikiran dan membangkitkan kedamaian dalam jiwa," katanya yang mula mendiami rumah pada 2005.

Ibu kepada empat orang anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun itu berkata, dia juga memilih beberapa set kerusi jati di bahagian sudut tertentu bagi memastikan setiap ruang kosong digunakan sebaik mungkin.

Menurutnya, terdapat sebahagian aksesori hiasan di rumah itu hadiah daripada rakan-rakan.

Pasangan itu turut me­ngambil kira elemen penting di bahagian dapur bagi mendapatkan keselesaan maksimum kerana kedamaian tidak lengkap dan sempurna, jika bahagian dapur dilihat berserabut.

"Saya tidak suka suasana berserabut dan sebab itu perancangan teliti penting bagi menjadikan setiap ruang dalam rumah ini sedap mata memandang," katanya.

Pasangan itu turut menempatkan wakaf atau gazebo selain pancutan air bertingkat di luar rumah.

"Gazebo ini menjadi lokasi santai buat kami terutama selepas pulang bekerja, apatah lagi terdapat lebih 50 ikan kap di kolam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:00 AM