AHLI Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam Dato' Ahmad Zaini Japar (berbaju jalur) merakam kenangan bersama delegasi kedua-dua negara dan peserta Thailand-Malaysia Relationship Sport Tourism 2017. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin
am@hmetro.com.my


Sintok: Seramai 1,300 penunggang basikal dari Thailand berjaya menamatkan kayuhan Sadao, Wilayah Songkla ke kampus utama Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, dalam program Thailand-Malaysia Relationship Sport Tourism 2017, hari ini.

Ketibaan mereka di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK), di sini, jam 10 pagi disambut 400 penunggang basikal dari Malaysia dan berkayuh bersama menuju ke UUM.


AHLI Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam Dato' Ahmad Zaini Japar (berbaju jalur) menyampaikan sumbangan sempena Thailand-Malaysia Relationship Sport Tourism 2017.FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, program ini adalah sempena ulang tahun ke 60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand di samping mempromosikan pelancongan di sepanjang 69 kilometer kayuhan mereka.

"Ia juga bersempena 33 tahun penubuhan UUM dan peserta turut dibawa meneroka tarikan yang ada di kampus ini seperti Taman Rusa, Puncak Vista dan Taman Tasik,

"Kita juga merancang untuk diadakan secara tahunan secara bergilir-gilir dan tahun depan kita merancang berbasikal ke Thailand pula," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program terbabit di Padang Kawad UUM.

Turut hadir Naib Canselor UUM Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang juga pengerusi program bagi pihak kerajaan Malaysia dan Datuk Bandar Sadao, Sumet Sasithorn.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 4:37 PM