POKOK jenjarum ini mempunyai karakter bunga yang menarik.

Salam deko. Jika minggu lalu saya sudah memperkatakan berkenaan tanaman yang dijadikan hiasan dalam rumah iaitu kaktus mini. Jadi minggu ini topik perbincangan berkenaan tanaman untuk luar rumah pula. Lebih terperinci lagi saya sebenarnya ingin bercerita berkenaan tanaman sesuai dijadikan pagar kediaman atau pembahagi selain pagar dawai, besi atau kayu. Terdapat beberapa tanaman yang biasanya dijadikan pagar kediaman.

Antara yang terkenal adalah pokok jenjarum atau ixora. Pokok ini sebenarnya mempunyai pelbagai nama seperti tabung jarum, pecah periuk, siantan, rangan, kheme, ponna, chann tanea, techi, pan, jungle flame, west Indian jasmine dan jungle geranium. Malah, pokok ini tergolong dalam kumpulan Rubiaceae dan tumbuhan renek yang berbunga sepanjang tahun di kawasan tropika dan subtropika seperti di Asia Tenggara serta India.

Spesiesnya sangat banyak hingga mencecah 500 jenis. Spesies yang popular di Malaysia adalah ixora coccinea yang berasal dari India dan dan Sri Lanka. Ia juga lebih banyak digunakan sebagai hiasan taman. Pada masa sama, jenjarum termasuk dalam kumpulan tumbuhan perdu dan mudah dipangkas. Ia perlu disiram secara rutin dan diberi penjagaan paling tidak sebulan sekali. Pokok ini juga mudah dicantas untuk mencipta reka bentuk menarik. Sudah tentu anda mungkin pernah melihat tanaman berbentuk haiwan atau logo syarikat dari pokok jenjarum.

Tanaman ini biasanya tumbuh rapat dan padat menyebabkan ia mudah dipilih sebagai alternatif pengganti pagar rumah. Himpunan ranting dan daun yang rapat menyukarkan haiwan serta manusia melintasinya. Mungkin selepas ini anda boleh cuba menanam pokok ini sebagai pengganti pagar rumah. Selain kelihatan semula jadi, ia juga lebih menyegarkan mata yang memandang. Minggu hadapan saya bakal bercerita berkenaan tumbuhan lain yang juga popular dijadikan hiasan pagar kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 10:55 AM