Ahmad Salim Bachok

Baru-baru ini, seorang rakan sembang media sosial saya membuat ulasan panjang mengenai satu berita membabitkan masa depan syarikat pengeluar kereta Malaysia, Proton. Berita berkenaan adalah mengenai usaha syarikat konglomerat DRB-Hicom, pemilik Proton, yang sudah di peringkat akhir untuk mendapatkan rakan kongsi asing kepada syarikat pengeluar kereta negara itu.

Terkini, dilaporkan dua syarikat pengeluar kereta antarabangsa iaitu Geely dari China dan Groupe PSA dari Perancis menunjukkan minat yang mendalam untuk menjadi rakan kongsi strategik kepada Proton. Kedua-dua syarikat kenderaan gergasi ini dikatakan telah melakukan kajian dan penilaian sewajarnya sebelum membuat tawaran.

Pemilihan sama Geely atau Groupe PSA yang bakal menjadi rakan kongsi Proton mungkin akan diketahui tidak lama lagi atau paling lewat sebelum bulan Julai tahun ini. Apa yang menariknya, antara perkara pokok yang menjadi isu tumpuan di dalam usaha menjadi rakan kongsi strategik ini, kedua-dua syarikat asing itu mahukan penguasaan 51 peratus terhadap kilang Proton di Tanjung Malim, Perak.

Untuk makluman, kilang Proton yang terletak di tanah berkeluasan 517 hektar dan mula beroperasi sejak Ogos 2004 ini sudah sejak beberapa lama beroperasi di bawah kemampuan sebenarnya. Malah, menurut sumber yang mempunyai akses terhadap operasi di kilang berkenaan, kapasiti pengeluaran di kilang Tanjung Malim kini hanyalah serendah 30 peratus sahaja.

Dalam kata lain contohnya, jika kemampuan sebenar kilang berkenaan adalah mengeluarkan 100,000 unit kereta sebulan, kini ia hanya mengeluarkan sekitar 30,000 kereta saja sebulan. Dari sudut kos dan perniagaan, keadaan ini adalah sesuatu yang membazir dan amat merugikan.

Berbalik kepada ulasan rakan saya tadi yang memang diketahui lebih condong kepada pihak yang tidak menyebelahi kerajaan, beliau menghentam habis-habisan usaha dilakukan oleh DRB-Hicom ini dan menganggapnya sebagai satu lagi tindakan kerajaan mahu menjual aset negara kepada China.

Sebelum ini, beberapa isu lain pelaburan besar bernilai ratusan ribu bilion ringgit yang dimenangi oleh beberapa syarikat China seperti Forest City di Johor Bahru, projek kereta api pantai timur dan projek Bandar Malaysia di ibu negara turut mendapat kecaman hebat daripada beliau.

Bagi saya, isu rakan kongsi strategik Proton ini amat mudah difahami, tiada perkara yang bercabang dan bengkang-bengkok. Ia adalah atas pertimbangan perniagaan semata-mata dan tiada isu sentimental atau politik murahan. Kita sebagai rakyat Malaysia yang mengaku sayangkan jenama Proton sepatutnya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak yang benar-benar pakar, iaitu pengurusan syarikat kereta nasional itu untuk melakukan perubahan.

Sesungguhnya sudah lama Proton mencari rakan kongsi untuk meningkatkan lagi kemampuan produknya (kereta) bersaing di peringkat antarabangsa, terutamanya di pasaran ASEAN.

Justeru bergabung dengan syarikat automotif antarabangsa lain yang mempunyai kemampuan kewangan lebih besar, selain memiliki kepakaran dalam pemasaran dan teknologi kenderaan yang lebih baik akan membantu meningkatkan kemampuan Proton untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

Tidak kiralah sama ada Geely atau Groupe PSA yang bakal menjadi rakan kongsi, gabungan ini adalah sesuatu yang pastinya memberi impak menang-menang. Kebimbangan bahawa Proton akan dikuasai oleh syarikat asing tidak timbul sebenarnya kerana yang ingin mereka kuasai (51 peratus) hanyalah kilang Proton di Tanjung Malim, bukan syarikat Proton itu sendiri. Satu lagi kilang Proton yang terletak di Shah Alam tidak termasuk di dalam perjanjian berkenaan.

Mana-mana syarikat pun jika diberi peluang untuk beroperasi di kilang Proton di Tanjung Malim itu pasti inginkan kuasa mentadbir dan membuat keputusan yang lebih besar kerana kereta atau kenderaan syarikat berkenaan yang bakal dikeluarkan di kilang itu adalah lebih banyak berbanding pengeluaran kereta Proton di situ.

Hujah rakan saya bahawa jika Geely yang bakal menjadi rakan kongsi Proton nanti maka ia boleh menjejaskan identiti kereta nasional kita, selain pekerja tempatan bakal menjadi kuli kepada pengurusan asing (China), bagi saya ini hanya suatu khayalan karut. Sambil melawak, kawan saya berkata, Proton mungkin akan bertukar menjadi ‘Ploton’ dan lambang harimau di logo Proton akan ditukar kepada lambang naga. Memang mengarut sungguh!

Saya berpendapat, dengan adanya peningkatan pengeluaran kenderaan di kilang Proton Tanjung Malim, ia adalah suatu rahmat kepada peningkatan ekonomi negara kita. Tidak masuk akal jika Geely akan membawa pekerja mahir dari China untuk bekerja di Tanjung Malim.

Selain dapat mewujud dan menambah peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, ia juga memberi peluang kepada vendor kenderaan tempatan membekalkan bahan mentah atau alat ganti kepada pengeluaran kereta yang semakin bertambah itu.

Keadaan ini juga akan merancakkan kegiatan ekonomi di sekitar Tanjung Malim dengan meningkatnya permintaan terhadap perumahan oleh pekerja kilang. Nilai hartanah di situ juga bakal meningkat, selain bertambahnya jumlah peniaga dan kilang kecil milik vendor di sekitar Tanjung Malim. Semua nikmat ekonomi ini akan dirasai oleh penduduk sekitar Tanjung Malim dan Selangor yang bersempadan dengannya. Ia adalah berkat hasil limpahan rezeki dari kilang berkenaan.

Untuk makluman, syarikat kereta Geely yang beribu pejabat di Hangzhou, Zhejiang itu kini adalah pemilik syarikat kereta penumpang Volvo sejak 2010, selain menjadi tuan punya kepada pembuat kereta British Taxi sejak 2012. Sejak dikuasai Geely, kereta Volvo semakin laris jualannya di seluruh dunia manakala jenamanya masih utuh sebagai kereta mewah bermutu tinggi berimej Sweden (Eropah).

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 6:47 AM