JET bot uji keberanian.
SAKSIKAN pemandangan mempesona menerusi aktiviti SkyPoint Climb.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Keseronokan yang mengujakan saat bercuti nyata satu kenangan terindah yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Jika anda ingin percutian menyeronokkan dengan pelbagai aktiviti menarik, Gold Goast adalah destinasinya.

Memulakan pengembaraan menyeronokkan di Gold Coast, SkyPoint Climb menawarkan pengalaman mengujakan terutama ketika berada di puncak bangunan tertinggi di Australia.

Berketinggian 270 meter dari aras laut, anda pasti teruja melihat serta merakam keindahan pantai di Gold Coast dan suasana berlatarbelakangkan langit yang menakjubkan.

Bagi kanak-kanak dan warga tua pula, berjalan-jalan di pelantar pemerhati melihat pantai terbentang luas dan ombak yang menghempas pantai memberikan ketenangan tersendiri.

Menaiki belon udara panas pula menawarkan pemandangan indah di pedalaman Gold Coast dari sudut berbeza.

Tidak cukup dengan itu, aktiviti terjun udara bukan saja menguji keberanian malah memberikan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan.

Dengan iklim subtropika, Gold Coast adalah destinasi percutian musim panas terbaik yang menawarkan pelbagai aktiviti air.

Selain bersantai di tepi pantai, menaiki jet bot berkelajuan tinggi pasti membuatkan anda tidak berhenti menjerit dek keseronokan yang ditawarkan.

Bagi anda terutama remaja yang ingin meluncur atau berdiri di atas papan luncur persis peluncur handalan pula, menghadiri kelas ditawarkan Surfers Paradise boleh merealisasikan impian anda.

Puas melakukan pelbagai aktiviti mengujakan, kunjungan ke taman tema ikonik di Gold Coast iaitu Warner Bros Movie World, Dream World dan Sea World punya kejutan tersendiri.

Usai berhibur di bandar, meneroka alam semula jadi dengan lebih 100 cabaran menerusi Zipline di Mt Tamborine memberikan keseronokan dan menyajikan keindahan hutan yang mempesona.

Bagi anda yang ingin merasai keseronokan mengujakan di Gold Coast, AirAsia X terbang 11 kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Gold Coast dengan tambang sehala dari RM499. Bagi Premium Flatbed ‘all-in’ untuk sehala pula adalah dari RM2,189.

Tempahan boleh dilakukan sekarang hingga 31 Mac dan waktu penerbangan juga bermula sekarang hingga 31 Oktober ini. Maklumat lanjut layari www.airasia.com/goldcoast.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 6:35 AM