SALENA memberi tunjuk ajar kepada ibu tunggal yang terbabit dalam projek menjahit beg.
SALENA memberi tunjuk ajar kepada ibu tunggal yang terbabit dalam projek menjahit beg.
SALENA menunjukkan rekaan beg yang dijahit ibu tunggal.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Selepas 13 tahun berada dalam dunia perniagaan teknologi maklumat, akhirnya syarikat milik wanita ini terpaksa ditutup. Ketika itu, Salena Ahmad baru setahun bergelar ibu tunggal dan perlu memikirkan jalan mencari pendapatan bagi membesarkan dua anak lelakinya.

Tatkala tidak memiliki punca pendapatan, wanita berhati cekal ini aktif mengikuti pelbagai aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di samping menghadiri kursus jahitan beg daripada bahan terpakai seperti kain denim bagi menambah kemahiran.

Terdetik di hatinya untuk memulakan perniagaan jahitan beg namun ia memerlukan modal dan rakan yang boleh bekerjasama menjayakan usaha berkenaan.

“Pada saat itu, saya terfikir mengapa tidak saya membantu ibu tunggal untuk menjana pendapatan sampingan dengan perniagaan beg berkenaan? Lantas saya mencari ibu tunggal yang berada dalam komuniti sendiri sekitar Kapar dan Meru, Klang terutama dalam kalangan mereka yang mahir.

“Antara ibu tunggal yang diberi perhatian ialah individu bekerja dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan ibu tunggal tidak bekerja namun memerlukan sumber pendapatan untuk membesarkan anak,” katanya.

Kempen dari mulut ke mulut dilakukan dan akhirnya syarikat perusahaan sosial, Suri Inspirasi Sdn Bhd ditubuhkan pada September 2016.

Operasi perniagaan berkenaan membantu menyelesaikan isu sosial terutama dalam usaha membantu mengurangkan kemiskinan ibu tunggal, menjana pendapatan, membekalkan mereka dengan kemahiran menjahit dan membangunkan produk kraftangan daripada seluar denim kitar semula.

Sedikit sebanyak, usaha berkenaan membantu mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan menggalakkan kempen kitar semula dilakukan.

BERI HARAPAN BARU

“Penubuhan syarikat ini adalah untuk membantu dan memperkasakan ibu tunggal yang berpendapatan rendah sekitar kawasan Sungai Udang dan Klang.

“Saya gembira kerana buat masa sekarang projek ini dapat membantu 16 ibu tunggal yang menghadapi cabaran kewangan di samping berhasrat meningkatkan pendapatan isi rumah lebih daripada RM1,500 sebulan,” katanya.

Jelasnya, produk berasaskan seluar denim kitar semula direka dan dicipta oleh kumpulan kreatif jenama berkenaan dan diberi nama 2ndChance.

Rekaan berkenaan direka berdasarkan trend fesyen semasa yang sinonim dengan barangan kitar semula. Ilham berkenaan berjaya menghasilkan deretan koleksi beg tangan, beg genggam, beg galas dan banyak lagi hasil kerja tangan ibu tunggal menggunakan seluar denim terpakai.

Walaupun perusahaan sosial berkenaan masih baru, projek kitar semula menggunakan seluar denim terpakai mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada syarikat korporat dan juga ramai.

Kini Suri sudah pun menguruskan empat projek bernilai kira-kira RM35,000 sejak ia ditubuhkan selain menerima bantuan mesin jahit industri daripada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

“Bagi ibu tunggal yang tidak mempunyai kemahiran menjahit, kami akan ajar asas menjahit secara percuma hinggalah mereka mahir menghasilkan beg.

“Saya memberi fokus terhadap jahitan semua jenis beg buatan tangan saja kerana potensi untuk menjana pendapatan tambahan dalam bidang ini sedang meningkat naik.

“Selain projek korporat, kami juga sedang menyiapkan beg untuk dijual di Petrosains yang menyediakan ruang khas bagi perusahaan sosial menjual barangan dihasilkan,” katanya.

Tidak dinafikan memang ada cabaran untuk menjayakan Suri terutama dari segi kewangan, pemasaran dan memberi tumpuan kepada ibu tunggal kerana dia menguruskan syarikat berkenaan seorang diri.

Bagaimanapun, dia perlu memastikan kualiti beg dijaga sebaik mungkin agar pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja ibu tunggal berkenaan. Melangkah setapak ke depan, Suri kini memberi tumpuan kepada penghasilan beg premium selain tempahan biasa yang diterima.

“Saya berharap agar ibu tunggal dapat keluar dari zon selesa dan tidak terlalu mengharapkan bantuan. Sebaliknya, mereka perlu berusaha mencari kemahiran yang boleh dijadikan ‘modal’ meraih pendapatan.

“Jika perlu bekerja di luar bidang, tidak mengapa asalkan kita mahu berubah dan mencuba untuk mengetahui sama ada ia membantu menjana pendapatan,” katanya.

Harapannya dengan penubuhan Suri dapat menyumbang idea dan peluang bagi membantu atau berkongsi ilmu bersama ibu tunggal yang benar-benar mahu memperbaiki kehidupan.

AMBIL ALIH TUGAS SUAMI

Latifah Hashim, 55, memiliki tanggungan dua anak berusia 19 dan 16 tahun. Suaminya menghidap kanser tahap kritikal dan tidak lagi dibenarkan bekerja oleh doktor kerana masalah kesihatannya.

Biarpun suaminya sakit dan Latifah perlu mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga, dia reda malah tidak pernah berputus asa untuk meneruskan hidup.

“Suami saya sudah kritikal dan badannya tidak lagi mampu menerima sebarang ubatan. Namun, saya bersyukur suami masih boleh berjalan dan doktor tidak membenarkan dia bekerja.

“Sekarang suami hanya bergantung kepada rawatan semula jadi seperti makanan yang baik untuk kesihatannya. Dulu, suami saya bekerja sebagai pemandu lori.

“Sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya mengambil tugasnya sebagai ketua keluarga termasuk mencari sumber pendapatan selepas tahap kesihatannya semakin kritikal,” katanya.

Dia bersyukur kerana memiliki kemahiran menjahit dan menerima tempahan baju sejak sebelum bergelar isteri. Selepas sekian lama mengambil tempahan jahitan baju, Latifah berasa ingin menambah kemahiran menjahit dalam pelbagai bidang.

Di dalam kesibukan menyiapkan tempahan, dia turut mempelajari jahitan seperti beg, alas meja dan langsir. Kini dia menyertai program anjuran Suri kerana beranggapan jahitan beg menerima permintaan yang tinggi.

Selain menyiapkan tempahan beg di syarikat perusahaan sosial itu, Latifah turut menjadi tenaga pengajar secara sukarela di situ untuk berkongsi ilmu bersama rakan yang tiada asas menjahit.

“Bagi saya tiada alasan untuk ibu tunggal tidak mempelajari kemahiran jika ia mampu menjana pendapatan. Pasti akan ada tempahan jika kita mahir menjahit dan mampu menyiapkannya dengan sempurna,” katanya.

TERUS BELAJAR

Rozita Othman, 52, ibu empat anak (dua masih belajar) turut kehilangan punca pendapatan dan semangat selepas kematian suaminya pada 2014 akibat kemalangan.

“Saya tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan bantuan anak sulung untuk perbelanjaan seisi keluarga. Selepas pencen, saya dan suami menjalankan perniagaan MLM, namun selepas kehilangannya saya cuba bergerak sendiri tapi tidak mampu untuk meneruskannya lagi.

“Kebetulan saya dapat tahu mengenai program ini dan ambil peluang yang dibuka untuk belajar menjahit. Minat menjahit beg memang ada namun kemahiran menjahit perlu dipelajari.

“Jika ada mesin sendiri, kita boleh mengambil tempahan dan menyiapkannya di rumah. Tidak perlu keluar berjumpa pelanggan atau ke tempat kerja dan ia tentu lebih memudahkan serta menjimatkan masa,” katanya.

Ujarnya, dia memang mempunyai asas menjahit memandangkan ibunya dulu tukang jahit. Namun, ketika itu dia tidak berminat untuk terbabit dalam dunia jahitan.

Kini, dia sedar mengenai kepentingan kemahiran menjahit yang perlu dipelajari oleh sesiapa saja terutama wanita dan Rozita masih dalam proses pembelajaran menjahit beg.

Sementara itu, Fadzilah Ahmad, 55, turut mengambil kesempatan yang diberikan untuk menyertai program berkenaan biarpun dia menerima tempahan menjahit baju dan langsir sejak 24 tahun yang lalu.

Memang pengalamannya dalam bidang jahitan sangat luas namun dia tetap mahu meningkat dan memperluaskan kemahiran dimiliki di samping menjana pendapatan sedia ada.

Ibu kepada enam anak dengan dua daripadanya masih bersekolah tidak mahu membebankan anaknya semata-mata dan dia berusaha menjana pendapatan sendiri bagi meneruskan kehidupan.

“Saya sudah berkecimpung dalam dunia jahitan baju dan langsir selama 24 tahun dan itu adalah punca pendapatan saya terutama selepas suami meninggal dunia.

“Kini saya mahu meluaskan kemahiran dan mencari pengalaman dalam bidang jahitan beg pula kerana belum pernah menghasilkan beg sendiri. Seronok bukan kepalang apabila berjaya menghasilkan beg sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:24 AM