AKSI bertenaga Shila Amzah dan Alif Sattar menyanyikan lagu Selamanya Cinta.
Adam Salleh

Yang klasik perihal Anugerah Juara Lagu (AJL), seminggu dua menjelang final, ramai benar bertanyakan tiket. Pihak media tidak terkecuali usahkan famili, rakan pejabat sendiri terutama mereka yang fanatik pada muzik tempatan, mendapat tikel AJL sesuatu yang berharga, apatah lagi menontonnya secara langsung pastilah mereka nikmat yang tidak terkata.

Ada juga spesies batang hidup lesap 11 bulan, tiba AJL barulah sibuk telefon rakan itu, telefon rakan ini semata-mata menagih tiket, pas atau kad jemputan AJL. Inilah petanda hebatnya AJL, sekalipun sudah tiga dekad, peminat pun sudah beralih generasi ke generasi tetapi tiba malam kemuncak ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk turut merasai malam gemilangnya.

Ahad lalu (22 Januari 2017) berakhirlah AJL edisi ke 31 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan tema Cerita Dalam Lagu. Penulis diundang dan menghadiri kemuncak AJL bukanlah kali pertama. Liputan sulung AJL dihadiri penulis pada 1987 ketika lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon ciptaan A Ali, lirik oleh Habsah Hassan muncul juara.

Sekadar berkongsi cerita separa lawak, suatu ketika ada staf baru TV3 telefon penulis mahukan penulis menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) sempena 20 tahun kematian penghibur, Sudirman Haji Arshad (kini Datuk). Penulis keberatan ke studio untuk bercerita hal peribadi Sudirman, cerita begitu eloklah bertanya pada Habsah Hassan atau Saodah Ismail dan Bahyah Mahmood (BAM) kerana penulis lirik dan bekas pengarang hiburan itu sememangnya rapat dengan Sudirman dan pastilah mereka banyak tahu cerita ‘luar dalam kain’ Sudirman.

Namun kata staf itu, penerbit cuma mahukan penulis komen perihal kemunculan Sudirman di AJL2 (1987) itu. Bagi menambah perisa perbualan kami, penulis menambah, “AJL yang Sudirman petik api di Angkasapuri itu kan?” Dipintas staf TV3 itu, “bukan Encik Adam, AJL TV3 yang punya.” Mahu tergelak pun ada, tetapi tidak mengapa kerana dia generasi muda.

Bagi kita yang masih ada hayat, betulkan fakta agar sejarah tidak lintang pukang adalah tanggungjawab berharga. Sememangnya AJL2, siaran langsungnya di Auditorium Besar Angksapuri, RTM! Itulah kali pertama dan terakhir AJL bersiaran langsung di RTM.

Berkalih AJL31 yang diterbitkan Nurul Huda Khalid, dibantu Zamzuri ‘Ayau’ Zaini, nyata sekali anugerah dinanti komposer serta penyanyi tanah air kita kian berprestij, bertambah glamor, matang dan kreatif baik di kalangan penciptaan lagu, penyanyi itu beraksi ataupun reka bentuk pentas bagi diserasikan dengan konsep tema saban tahun AJL itu berlangsung.

Lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah ciptaan Natasyah dan lirik Iman Imran muncul juara Lagu AJL31. Selain menerima wang tunai RM50,000, baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000, Dayang menerima RM12,000 lagi kerana meraih kategori Vokal Terbaik. Tuah penyanyi asal bumi kenyalang ini kategori itu dimenanginya tiga tahun berturut-turut.

Tempat kedua dimenangi lagu Terimaku Seadanya nyanyian Hafiz Suip dan Misha Omar, tempat ketiga lagu Susahku Tahu ciptaan Razip nyanyian Projector Band. Menilai vokal peserta AJL31, penyanyi perempuan lebih ‘power’ seperti Dayang, Shila Amzah dan Misha Omar. Lelaki sudah pastilah, Black yang menyanyikan lagu Anugerah Terindah ciptaan Omar K dan Audi Mok.

AJL itu mengiktiraf pencipta lagu, tetapi harus diingat penyanyi bak ‘ayam tambatan’ justeru pada merekalah disandarkan harapan apakah sesuatu lagu itu dapat dialun bertenaga. Sekalipun Syamsul Yusof menjadi sutradara filem pertama beraksi di AJL berduet bersama Mawi lagu Kalah Dalam Menang, vokal dan sebutannya lebih jelas berbanding Aiman Tino menyanyikan lagu Ku Rela Dibenci ciptaan A.C.K. dan Sufian Suhaimi (Terakhir). Namun baik Aiman dan Sufian, mereka kurang pengalaman tetapi mereka masih muda untuk mencipta banyak kejayaan kelak.

Penyertaan Shila (Selamanya Cinta berduet dengan Alif Satar) dengan Syamsul Yusof agak menarik kerana kedua-duanya bukan hanya boleh mencipta lagu, menulis lirik dan menyanyi sekali. Kombinasi bakat seni begini jarang dimiliki penyanyi kita, bahkan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sendiri pun hanya mencipta dan menyanyikan lagu, lirik nukilan lain.

AJL kali ini diacarakan oleh Sarimah Ibrahim, Awal Ashaari, Fara Fauzana dan Fizie. Agak musykil apabila disebut lagu Lelaki Teragung sebagai tribute kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Ketua Menteri Sarawak) yang meninggal 11 Januari lalu. Lazimnya sesebuah lagu tribute itu dicipta khusus selepas seseorang tokoh itu tiada, umpamanya lagu Lagenda nyanyian Sheila Majid (Datuk) dicipta bagi menghargai ketokohan P Ramlee, sedangkan Lelaki Teragung terhasil ketika hayat Adenan itu masih ada.

Penulis lirik pula menjelaskan Lelaki Teragung khusus buat ayah beliau. Apa boleh kita harapkan agar kejayaan Lelaki Teragung menyuntik inspirasi pada komposer lain untuk menghasilkan lagu lebih khusus bagi mengenangkan jasa Adenan.

Natijahnya, penghargaan diberi penganjur pada penulis lirik juga wartawan hiburan terkenal, Juwie (Allahyarham Jalil Salleh) dan Loloq (Allahyarham Rosli Khamis) sesuatu yang sentimental kerana lazimnya penulis lirik acapkali tersisih sumbangan mereka dan kebetulan kejayaan lagu Lelaki Teragung itu liriknya adalah nukilan wartawan hiburan berbakat besar, Rudy Imran.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:15 AM