Rudy (kiri) bersama Dayang dan Natasyah. FOTO HM
Dayang dengan membawakan lagu Lelaki Teragung dengan penuh perasaan. FOTO HM
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Lagu Lelaki Teragung ciptaan Natasyah dan lirik oleh wartawan hiburan Metro Ahad Iman Imran dendangan penyanyi Dayang Nurfaizah membolot trofi berprestij, Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31, di sini malam tadi.

Acara itu disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Lagu itu membawa pulang trofi, baucer CJ WOW shop bernilai RM10,000, telefon pintar dan hadiah wang tunai RM50,000 dan turut diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik sekali gus memenangi trofi dan RM12,000.

Kemenangan kategori Vokal Terbaik menyaksikan Dayang mengulangi sejarah AJL tiga tahun berturut-turut.

AJL31 turut menyaksikan lagu Terimaku Seadanya ciptaan Ajai didendangkan Misha Omar dan Hafiz Suip meraih tempat kedua sekali gus menerima hadiah wang tunai RM35,000.

Tempat ketiga dimenangi lagu Sudah Ku Tahu ciptaan Razif yang dipersembahkan oleh Projector Band menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Selain itu, kumpulan Khalifah turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik sekali gus memenangi trofi, telefon pintar dan RM12,000.

AJL 31 membawa tema Cerita Dalam Lagu yang memberi pengiktirafan kepada penulis lirik terkemuka iaitu arwah Juwie dan arwah Loloq yang banyak membantu memartabatkan industri seni tanah air menerusi lirik lagu tulisan mereka.

Malam kemuncak AJL 31 diacarakan oleh empat pengacara popular iaitu Fara Fauzana, Serimah Ibrahim, Awal Ashaari dan Fizie.

Acara berprestij ini juga menyaksikan persembahan selebriti popular. Antaranya persembahan pembukaan dimulakan dengan kumpulan El Gamma Panumbra bersama Jaclyn Victor menerusi lagu Gemilang selain persembahan interlude daripada Man Bai, Ameng dan Ella.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 12:02 AM