BERNAMA

Bangkok: Seorang rakyat Malaysia memandu sejauh lebih 2,500 kilometer dari sempadan Malaysia ke Si Chomphu, Khon Kaen di timur laut Thailand untuk mencari bekas isterinya, seorang warga Thai, yang didakwa menipunya sebanyak tiga juta Baht (kira-kira RM380,000).

Pegawai Penyiasat balai polis Si Chomphu, Mejar Worapol Srichiengsa berkata, lelaki 50 tahun itu membuat laporan polis di Si Chomphu berhubung perkara berkenaan.

“Dia mendakwa bekas isteri menipunya menerusi pelaburan dalam perniagaan ladang tebu di kampung halaman wanita itu di sini (Si Chomphu)," katanya di sini, hari ini.

Menurut polis, lelaki itu mendakwa bertemu bekas isterinya yang berusia 32 tahun di Hatyai kira-kira 11 tahun lalu, sebelum memutuskan untuk berkahwin di Malaysia dan membantunya menguruskan perniagaan resort.

Worapol berkata, pada 2012, wanita itu mencadangkan mereka membuka ladang tebu di kampungnya dan dipersetujui lelaki itu yang memasukkan sejumlah wang secara berperingkat ke dalam akaun bapa mentuanya selama beberapa tahun sehingga akhir tahun lalu.

Pasangan itu kemudian bercerai dan wanita berkenaan kembali ke Thailand.

“Lelaki ini datang membuat laporan kepada kami untuk menuntut semula wangnya kerana mendakwa tidak menerima sebarang hasil daripada pelaburan ladang tebu itu,” kata Worapol.

Polis kemudian menasihati lelaki itu membuat aduan di Pusat Dumrongtham, iaitu pusat aduan kerajaan, kerana kes membabitkan pertelingkahan keluarga.

Worapol berkata, pusat itu difahamkan berjaya mengatur pertemuan antara lelaki itu dengan bekas mentuanya tanpa kehadiran bekas isteri namun gagal mencapai persetujuan.

Katanya pertemuan kedua dijangka diadakan beberapa hari lagi yang akan turut dihadiri beliau.

Mengenai bekas isteri lelaki itu, Worapol berkata wanita berkenaan sudah berkahwin lain dengan warga Thai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 9:29 PM