Kebakaran rumah kedai di Kampung Kijang, Kota Bharu, petang tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pembantu kantin pengsan seketika apabila melihat rumahnya di Kampung Kijang, di sini terbakar, 4.15 petang, hari ini.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas menyebabkan rumah dua tingkat jenis separuh kekal itu hangus.

Mek Yah Mamat, 47, berkata, dia membasuh pakaian di belakang rumah itu sebelum terbau hangit dan memasuki rumah untuk melihat apa yang berlaku.

"Ketika itu asap tebal sudah memenuhi ruang tamu. Saya cuba menutup suis utama namun, semuanya sudah terlambat.

"Ahli keluarga membantu saya keluar dan anak Nur Nadia Riduan, 13, berada di halaman rumah tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa.

"Selepas keluar, tiba-tiba saya merasa pitam dan pengsan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Mek Yah berkata, kejadian itu turut menyebabkan mesin membuat roti dan mesin jahit miliknya hangus dan kerugian kebakaran dianggarkan lebih RM20,000.

Dalam pada itu, 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Pengkalan Chepa ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.21 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Riduan Baharudin berkata, ketika tiba, rumah terbabit hampir musnah

"Pihak kami mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran dan api dipadamkan sepenuhnya hampir dua jam kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 8:22 PM