Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Bekas pengurus kanan syarikat perdagangan antarabangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dipercayai menyalahguna jawatannya dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 daripada kontraktor yang dilantik syarikat itu menerusi beberapa transaksi.

Sumber berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 4 petang dan difahamkan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

"Suspek terbabit dipercayai melakukan kesalahan berkenaan antara Februari hingga Jun 2015 di beberapa lokasi di Johor Bharu.

"Difahamkan suspek pernah dituduh sebelum ini oleh SPRM akan dituduh sekali lagi mengikut seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)," katanya.

Sumber berkata, pada 8 Mac tahun lalu, suspek mengaku tidak bersalah di mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru terhadap 115 pertuduhan kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM 101.64 juta bagi pembelian produk resin plastik antara Disember 2014 dan Mei 2015.

"Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 7:33 PM