ANTARA busana Muslimah yang dihasilkan finalis.
ANTARA busana Muslimah yang dihasilkan finalis.
ANTARA busana Muslimah yang dihasilkan finalis.
TANG (kanan) menerangkan idea dan konsep busana yang dihasilkannya.
TANG (dua dari kiri) dan Chloe (kanan) bersama hadiah kemenangan masing-masing.
JURI bersama finalis Pertandingan Rekaan Fesyen INTIxZALORA selepas selesainya majlis penyampaian hadiah.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Meskipun bukan Muslim, 10 finalis yang juga penuntut Kolej Antarabangsa INTI Subang menyahut cabaran menghasilkan busana Muslimah untuk dipersembahkan pada Pertandingan Akhir Rekaan Fesyen INTIXZALORA, baru-baru ini.

Semua finalis diberikan modal RM300 bagi menghasilkan busana masing-masing namun gaun panjang minimalis berwarna biru ilham penuntut tahun akhir jurusan rekaan fesyen, Tang Wai Ping, 19, menambat hati juri untuk memilihnya sebagai pemenang pertandingan edisi kedua itu.

Kemenangan itu melayakkan Tang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, sesi penggambaran peribadi, latihan amali dan peluang menjual pakaian rekaan di platform dalam talian ZALORA.

Manakala tempat kedua, Chloe Annmarie Manual, 19, membawa pulang wang tunai RM2,000 dan peluang latihan amali di ZALORA serta sesi penggambaran peribadi.

Tempat ketiga Wong Chin Chee, 19, turut memenangi hadiah serupa dengan wang tunai RM1,000.

Tang berkata, dia mendapat ilham menghasilkan busana berasaskan kain satin dan lycra itu selepas melihat keindahan langit dan cahaya bulan pada waktu malam.

“Bukan mudah untuk saya menghasilkan busana Muslimah kerana perlu lebih teliti dalam mengkaji trend dan gaya semasa Muslimah bagi mengekalkan aspek utama iaitu sopan serta mempunyai ciri-ciri ketimuran.

“Namun, inilah yang dinamakan cabaran dan saya rasa bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dan nasihat pensyarah serta wakil ZALORA berkaitan konsep serta gaya sesuai bagi Muslimah masa kini,” katanya.

Juri merangkap Dekan Pusat Seni dan Rekaan INTI Ang Ton Yin berkata, pertandingan dengan kerjasama jenama serta organisasi terkemuka, ZALORA itu salah satu platform bagi mengasah bakat, kemampuan serta mengukuhkan portfolio penuntut sebelum memasuki industri fesyen kelak.

Ang berkata, pertandingan itu juga salah satu inisiatif pihaknya untuk memberi pengalaman serta meningkatkan komunikasi penuntut yang perlu membentangkan idea, konsep dan strategi jualan serta pemasaran di hadapan juri yang mengadili pertandingan berkenaan.

“Ini kali pertama penuntut kita menghasilkan rekaan Muslimah dan saya bangga kerana mereka sanggup menyahut cabaran untuk menghasilkan busana yang cantik.

“Malah, usaha semua finalis wajar diberi pujian kerana mereka bukan Islam tetapi sedia mempelajari budaya dan fesyen baru dan ia sesuatu yang amat menarik.

“Meskipun belum bergelar pereka fesyen profesional, kami berpuas hati melihat hasil rekaan mereka yang sesuai dengan konsep Muslimah iaitu elegan tetapi tidak melanggar batas,” katanya.

Seorang lagi juri, Nina Aziz yang juga pembeli fesyen dari ZALORA Malaysia memuji rekaan dihasilkan finalis yang dianggap kreatif dan menjangkaui pasaran wanita Muslim.

“Mereka kreatif dan berpandangan jauh kerana menitikberatkan wanita secara amnya, bukannya yang beragama Islam saja.

“Bagi saya ini adalah pendedahan baik bagi penuntut untuk memahami dan menyuntik elemen budaya termasuk menghasilkan pakaian Islamik yang kini semakin mendapat tempat dalam industri fesyen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 12:16 AM