Abang Johari tiba pada Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak yang ke-6 di Astana Negeri. FOTO Aizuddin Saad
Shamran Sarahan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my


Petrajaya: Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6, di Astana Negeri, di sini, sebentar tadi.

Abang Johari mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu ialah barisan Kabinet negeri dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Menteri Persekutuan yang turut kelihatan dalam majlis angkat sumpah itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Pemilihan Abang Johari diputuskan dalam satu mesyuarat khas di kediaman Abdul Taib di Demak Jaya, di sini, pagi tadi.

Abang Johari mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri itu berikutan kematian Tan Sri Adenan Satem, 72, akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Rabu lalu.

Datuk Amar Abang Johari Abang Openg

* berusia 65 tahun

* Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok

* anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama, Tun Abang Openg

* Abang Johari turut memegang jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Urbanisasi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak

* Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 4:18 PM