DEWAN Undangan Negeri Sarawak. FOTO arkib NSTP
HM Digital

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak baru dijangka diumumkan dan mengangkat sumpah, hari ini.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipetik daripada portal berita New Straits Times (NST), majlis angkat sumpah bagi Ketua Menteri keeenam Sarawak akan diadakan di Istana Negeri, Astana Negeri, Petra Jaya dekat sini, 4 petang, 13 Januari.

Difahamkan kepimpinan tertinggi PBB mengadakan mesyuarat sebelum pelantikan itu.

Ditanya mengenai identiti Ketua Menteri baru, sumber itu hanya berkata: "Beliau adalah pemimpin kanan dalam parti."

Sementara itu, tinjauan menunjukkan bahawa beberapa kereta milik pemimpin PBB dilihat memasuki kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Antaranya ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Openg, yang juga Timbalan Presiden PBB.

Difahamkan, Abang Johari telah meminta pertemuan dengan Ketua Negeri berhubung penggantt Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada Rabu.

Sementara itu, trending di laman sosial sejak kira-kira 15 jam lalu menyebut bahawa Abang Johari bakal dilantik Ketua Menteri Sarawak baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 12:39 PM