Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Sebelum adanya media sosial, apa yang dilakukan kita jarang diperkatakan tetapi kini sesiapa saja boleh menjadi terkenal bak selebriti hanya kerana sekeping gambar.

Turut menerima tempiasnya adalah sekumpulan remaja lelaki dan perempuan yang mengambil gambar ketika memanjat dan berbaring dalam buaian di kerangka mercu tanda ‘IPOH’.

Disebabkan itu, mereka menerima kecaman hebat netizen yang menganggap tindakan remaja berkenaan keterlaluan dan menempah maut.

Bagaimanapun, mereka tampil membuat permohonan maaf terbuka dalam satu sidang media selepas menyedari tindakan dilakukan itu adalah satu kesalahan.

Penulis sangkakan isu itu memberi iktibar kepada remaja lain tetapi lain pula jadinya apabila tersebar video berdurasi satu minit 22 saat yang memaparkan seorang lelaki memanjat dan mengambil gambar di atas kren tanpa sebarang peralatan keselamatan.

Terbaru, heboh pula di laman sosial mengenai video dua lelaki memanjat dan bergayut di menara telekomunikasi di Bukit Chendering, Kuala Terengganu yang difahamkan dirakam dua tahun lalu.

Persoalannya, adakah tindakan itu dilakukan untuk kepuasan diri atau mengejar populariti segera?

Jika benar pengikut mereka bertambah dek tular di media sosial sekalipun, adakah tindakan itu berbaloi sekiranya berlaku sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa?

Bagi penulis, tiada salahnya remaja kini cenderung terhadap aktiviti lasak atau ekstrem tetapi biarlah ia disalurkan pada platform yang betul.

Jangan kerana taasub untuk mencipta rekod, nyawa sendiri melayang. Bagi mengupas isu ini, penulis menemu bual tiga remaja secara rawak dan ini komen mereka:

Komen gen.y

Arafat Esah, 28 - Eksekutif Korporat

“Bagi saya, mereka lakukan itu untuk mendapat kepuasan diri dan mencuba benda baru yang orang lain tidak buat di negara ini .

“Pendek cerita, mereka berani mengambil risiko dan meletakkan diri dalam bahaya dan bagi saya, ia bukan satu masalah.

“Cuma, masalahnya apabila mereka memanjat di kawasan persendiran kerana itu boleh dikira menceroboh,” katanya.

Muhammad Fadzil Ahmad Shukor, 27 - Pensyarah

“Pada pandangan saya, aksi itu dilakukan untuk menampakkan mereka ‘hipster’ dan lain daripada orang lain dan membuka mata masyarakat terutama apabila foto diambil tular di media sosial.

“Sedangkan, ia satu kesalahan lebih-lebih lagi jika mereka menceroboh tempat persendirian dan tidak memakai alat keselamatan.

“Seelok-eloknya, salurkan minat itu dengan cara betul seperti menyertai pertandingan aksi ekstrem yang mungkin boleh mengharumkan nama negara daripada menggadai nyawa dengan memanjat di kawasan larangan,” katanya.

Muhammad Irsyad Zaini, 22 - Penuntut Ijazah Sarjana Bahasa dan Linguistik (Bahasa Inggeris)

“Tindakan mereka itu tidak wajar kerana bukan saja membahayakan nyawa tetapi memberi persepsi negatif masyarakat terhadap belia sendiri.

“Saya percaya banyak lagi aktiviti boleh membawa faedah serta menyumbang kepada kesihatan tubuh badan seperti panjat dinding batu atau ‘rock climbing’, yang lebih terjamin dari segi keselamatannya.

“Jadi, mereka seharusnya fikir dulu sebelum bertindak,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:01 AM