Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Akim Ahmad mengakui tidak dapat meluangkan lebih banyak masa kepada isterinya Ummu Syaikhah Stacy Anam, 27, atau Stacy yang kini sarat hamil lapan bulan berikutan komitmen kerja.

Akim, 26, berkata dia perlu memberi fokus untuk pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31), konsert di Dewan Filharmonik Petronas dan program Mentor Milenia 2017.

“Jadual saya agak padat sekarang, jadi masa untuk bersama Stacy juga terhad. Namun, sesibuk mana pun saya tetap akan pulang ke rumah. Itu adalah tanggungjawab saya. Belum pernah lagi saya tak pulang ke rumah.

"Dalam perkara ini saya yakin Stacy sangat memahami kerja saya. Namun tak bermakna saya tak mengambil berat mengenai keadaan dirinya serta anak yang bakal dilahirkan nanti," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai keadaan Stacy, Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret berkata, selera makan isterinya tidak menentu sehingga menjejaskan sedikit berat bayi dalam kandungan.

"Pada peringkat kehamilan sekarang Stacy sangat susah nak makan. Kadang-kadang makanan yang sedia terhidang dia tak nak makan sebaliknya mahukan makanan lain.

"Sebelum ini dia tak ada masalah dengan pemakanan. Jadi apabila berlaku perubahan itu saya jadi serba tak kena, tapi saya tetap layankan apa saja permintannya.

"Perkara itu sedikit-sebanyak menjejaskan berat bayi dalam kandungan. Sepatutnya pada usia kehamilan sekarang berat bayi perlu lebih dua kilogram, tapi sekarang setakat 1.6 kilogram. Apa pun saya berharap bulan terakhir ini beratnya boleh bertambah," katanya.

Stacy dijangka bersalin hujung Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 6:39 PM