Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Keluarga adalah unit asas sosial yang terdiri daripada ibu bapa dan anak, lalu membentuk satu kumpulan. Setiap keluarga mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Keluarga dapat berfungsi dengan baik jika setiap ahlinya bergaul dalam keadaan gembira, tidak berasa tertekan mahupun sedih. Setiap insan inginkan keluarga yang berfungsi dan tahu akan kesan buruk akibat keruntuhan rumah tangga.

Banyak faedah yang diperoleh jika keluarga bahagia dan bersatu padu. Kebahagiaan berkait rapat dengan perubahan kualiti hubungan keluarga. Namun, hubungan kekeluargaan yang rapat dan keluarga yang stabil sangat diperlukan oleh kanak-kanak serta remaja.

Keluarga yang berpecah-belah sering mengalami konflik, salah laku dan penderaan sehingga menyebabkan ahlinya turut berkelakuan sedemikian. Apa yang dibimbangkan ialah jika anak terpengaruh dengan sikap ibu atau bapa kerap marah-marah dan meneruskan ‘budaya’ tidak sihat itu ke dalam keluarga mereka kelak.

Apabila keluarga bahagia, anak turut gembira dan begitu jugalah sebaliknya. Remaja yang kekurangan kasih sayang mudah terpengaruh dengan kemudahan teknologi di sekeliling mereka, contohnya rakan di alam maya.

Mereka kurang mahir mengawal emosi dan mudah dipengaruhi oleh media (termasuk Internet dan telefon mudah alih). Tanpa sebarang bantuan, ibu bapa tunggal atau ibu bapa yang sibuk tidak bertenaga serta tiada masa untuk memberi perhatian dan sokongan kepada anak.

Masa lapang akan dimanfaatkan untuk dirinya sendiri dan bukannya bersama keluarga. Remaja perlu rasa disayangi, dihargai dan selamat.

Didikan ini sepatutnya bermula dari rumah di dalam memupuk insan yang berkualiti bukan saja kepada keluarga malah komuniti dan negara.

Ada beberapa panduan untuk ibu bapa, mungkin boleh membantu mengekalkan kebahagiaan keluarga. Antaranya:

1. Hormati pandangan dan pendapat setiap ahli keluarga. Sayang-menyayangi antara satu sama lain.

2. Kanak-kanak suka mendengar kisah ibu bapa ketika zaman remaja mereka dan di tempat kerja.

3. Tunjukkan contoh berkasih sayang kepada anak. Jika ibu bapa melayani pasangan dengan baik, anak turut berkelakuan baik kepada orang lain.

4. Jadikan masa makan waktu bersama keluarga. Ini adalah masa yang sesuai untuk berhubung. Berbuallah dengan anak. Makan bersama adalah cara yang paling mudah untuk meluangkan waktu untuk keluarga dan menjalin perhubungan erat. Pastikan semua ahli keluarga tidak diganggu oleh gajet canggih.

5. Jika anak tidak seronok di rumah, mereka akan mencari keseronokan di tempat lain. Bawa keluarga melakukan aktiviti bersama setiap hujung minggu. Hargai masa bersama keluarga.

6. Jangan tinggikan suara di rumah. Meninggikan suara bermakna ibu bapa gagal mengawal keadaan.

7. Lindungilah anak.

8. Pastikan setiap ahli keluarga berkomunikasi antara satu sama lain dengan berkesan.

9. Layan ahli keluarga dengan penuh kasih sayang.

10. Berkongsi cerita dengan anak.

11. Utamakan perhubungan kekeluargaan dan perkahwinan.

12. Jangan malu untuk bermain bersama anak-anak terutama yang kecil.

13. Utamakan keluarga berbanding rakan. Apabila berada di rumah, ketepikan sebentar rakan maya anda.

14. Lakukan sesuatu yang menyeronokkan bersama-sama kerana kanak-kanak gemar keseronokan.

15. Wujudkan aktiviti rutin keluarga.

16. Pastikan suasana di rumah tenang.

17. Jangan bertengkar di depan anak-anak. Jika ada perselisihan faham antara suami isteri, cubalah sembunyikan dan bincang masalah anda di dalam bilik.

18. Jangan bekerja sepanjang masa. Utamakan anak-anak kerana mereka amat berharga.

19. Berkomunikasilah dengan anak-anak secara terbuka.

20. Pastikan hubungan kekeluargaan dapat dirasai oleh setiap ahli.

21. Personaliti setiap anak adalah unik dan berbeza-beza. Keunikan menjadikan setiap anak istimewa dan harus berbangga dengan keunikan diri masing-masing.

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 2:03 PM