HAMDAN Ahmad Sapli.
HAMDAN menunjukkan lalang reput yang digunakan sebagai baja.
PELBAGAI jenis tanaman yang ditanam di Batu 10 Lekir Kitchen Garden.
POKOK keladi hidup subur .
HERBA pudina yang sesuai diletakkan dalam air teh.
ULAM selom ditanam di dalam tanah berair.
HAMDAN memetik sayuran segar dari kebun untuk juadah keluarga.
Noor Hidayah Tanzizi
rencana@hmetro.com.my

Jika anda bakal pesara dan mempunyai tanah di halaman rumah tetapi tiada idea untuk mengusahakannya, apa kata anda mengikut jejak Hamdan Ahmad Sapli, 48, yang menanam pelbagai jenis tanaman.

Tidak memerlukan kawasan luas, bahkan hanya kira-kira satu lot rumah, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini mula berbudi pada tanah sejak tiga tahun lalu.

Sehingga kini, kebun sayur yang diberi nama Batu 10 Lekir Kitchen Garden di Lorong Haji Hamzah, Sitiawan, Perak sudah mempunyai 37 jenis sayur, ulaman dan herba, selain anggur serta pelam epal.

Menurutnya, bertani adalah minat yang dipendam sejak berada dalam perkhidmatan tentera dan boleh dikatakan sepanjang perkhidmatannya dia menghabiskan masa di laut.

“Sebagai anak yang dilahirkan dalam keluarga petani, saya sangat meminati dunia pertanian biarpun tiada pengetahuan khusus dalam bidang ini.

“Saya beli dua lot tapak rumah dan memang berniat untuk menggunakan satu lot sebagai ‘medan tempur’ pelbagai jenis tanaman yang memang diidamkan selama ini.

“Saya juga tidak mahu duduk saja di rumah selepas bersara dan mengambil peluang ini untuk bertani di samping menjaga anak bongsu berusia tiga tahun ketika isteri bekerja dan anak lain bersekolah,” katanya yang bersara pada Ogos 2011.

Katanya, dia menanam pelbagai jenis tanaman seperti sawi, bayam, kangkung, pucuk paku, ulaman selom, tenggek burung dan herba seperti kunyit, pudina, ‘lemon balm’ serta daum sirih secara berperingkat.

“Mulanya saya hanya tanam untuk kegunaan sendiri. Namun, selepas ia semakin banyak saya memberikan kepada jiran dan selebihnya dijual. Malah, ada juga orang kampung yang mahukan sayuran segar terus ke rumah.

“Saya menggunakan konsep dari Barat yang mempunyai kebun sendiri berhampiran dapur dan sebab itu saya menamakan kebun ini sebagai Kitchen Garden dengan menghabiskan masa dua jam setiap hari di situ,” katanya yang menjual hasil kebunnya lebih murah daripada harga di pasar.

Hamdan berkata, pengurusan tanaman tidak sukar dan paling penting adalah mengenali jenis tanah yang sesuai dengan tanaman, selain cara membaik pulih tanah.

“Yang penting apabila kita menggunakan tanah sama untuk tanaman seterusnya, ia perlu dibaik pulih menggunakan kapur tanaman bagi meneutralkan semula tanah itu.

“Untuk semua tanaman di sini saya menggunakan tanah jenis ‘top soil’ atau tanah permukaan atas kerana ia sesuai untuk tanaman sayur dan baja seperti biasa menggunakan najis ayam.

“Selain itu, saya menggunakan lalang yang direputkan sebagai baja dan seminggu sebelum menanam biji benih, lalang akan ditanam di batas serta disiram air,” katanya.

Menurut Hamdan, dia mahu orang ramai terutama pesara sepertinya menjadikan berkebun sebagai aktiviti harian daripada menghabiskan masa di kedai kopi.

“Bukan saja dapat menjimatkan belanja dapur, kita juga dapat menikmati makanan segar yang ditanam sendiri, selain dapat mengeluarkan peluh dengan aktiviti sihat.

“Saya juga membuka peluang kepada orang ramai datang melawat kebun ini dan berkongsi ilmu berkenaan pengurusan serta cara tanaman.

“Sehingga kini hampir 1,000 pelawat sudah diterima sejak tahun lalu, bukan saja dari daerah ini, malah luar Perak dan kepuasaan saya berganda apabila melihat tanaman subur ini memberikan pendedahan serta semangat kepada pelawat yang berkongsi minat sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 1:08 PM