ANTARA peserta yang mengikuti kelas jahitan di Sadeera.
ANTARA peserta yang mengikuti kelas jahitan di Sadeera.
PEMBELAJARAN jahitan secara santai dengan kaedah mudah.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Jahitan adalah bidang yang berpotensi dijadikan kerjaya dan menjana pendapatan wanita sama ada sambilan atau sepenuh masa.

Namun, ia memerlukan kemahiran dan kreativiti dalam meneroka pasaran menerusi kepelbagaian seni kreatif yang dihasilkan. Mungkin ada beranggapan kemahiran menjahit hanyalah untuk membantu memperbaiki kelangsungan hidup diri sendiri atau keluarga.

Namun, bagi wanita yang memiliki matlamat menambah baik kehidupan mereka, kemahiran yang dipelajari itu sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan jika ia disertai dengan usaha tanpa putus asa.

Bidang jahitan ini sangat luas kerana ia bukan saja membabitkan pakaian malah turut membabitkan bidang kraf, dekorasi rumah, bilik tidur, mainan kanak-kanak dan sebagainya.

TINGKAT KEMAHIRAN

Dia bermula dengan kosong. Bukan saja tidak tahu menjahit malah tidak pernah timbul rasa minat untuk menyentuh jarum dan benang. Namun, semuanya berubah apabila ia dilakukan dengan kemahuan dan usaha yang berterusan.

Pengarah Arena Fashion & Design Institute (AFDI) Asfarena Samion berkata, pembabitannya dalam bidang jahitan bermula dengan memenuhi masa terluang selepas mengambil keputusan berhenti kerja.

“Bermula dengan memenuhi masa terluang, lama-kelamaan saya mula serius mendalami bidang jahitan dan kraftangan ini sebagai punca pendapatan.

“Bukan untuk diri saya saja, namun mahu pastikan hobi dan kemahiran ini boleh menjana pendapatan terutama kepada suri rumah,” katanya.

Selepas 20 tahun dalam bidang jahitan dan kraf, beberapa cawangan akademi kemahiran di Kluang (Johor), Shah Alam (Selangor), Sabah dan akan datang di Temerloh serta Maran di Pahang malah Sarawak diwujudkan di bawah label Absarena Academy.

Keinginan Asfarena untuk melihat kejayaan setiap mentee di bawah bimbingannya dalam tempoh enam bulan, memang membuahkan hasil.

Dia yakin walaupun ekonomi dijangka merudum pada 2017, tapi pakaian atau makanan adalah keperluan harian yang sentiasa mendapat permintaan.

“Semua cawangan akademi menerima tempahan pukal secara berpusat dan mengadakan kelas jahitan untuk individu yang berminat menggunakan modul sama.

“Kami mahu berkongsi rezeki dengan mengagihkan tempahan yang diterima kepada penjahit atau bekas peserta kursus yang sudah disahkan kemas hasil jahitannya dan mahir.

“Kami memberi peluang kepada tukang jahit yang pernah menjalani kursus di sini untuk menyiapkan tempahan pukal secara sepenuh masa atau separuh masa di rumah atau akademi mengikut keselesaan masing-masing,” katanya.

JANA PENDAPATAN

Azlina Samat memang menjahit sejak di sekolah menengah. Ketika bekerja, dia turut belajar menjahit secara separuh masa dengan mengikuti kelas persendirian.

Selepas berhenti, barulah dia dapat memberi tumpuan penuh dalam kursus jahitan pakaian wanita anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) pada 2011.

Kemudian, banyak lagi kursus yang disertai bagi menambah kemahirannya. Baginya, pelaburan untuk mencari ilmu memang perlu apatah lagi memang minat di dalam bidang berkenaan.

Kata Pengarah Sadeera Deco & Designs Institute (Sadeera) yang beroperasi di Shah Alam ini lagi, pada 2013, nama Butik Jahitan Sazdiena Collection digunakan sebelum bertukar nama kepada label sekarang.

“Selepas menyertai kursus anjuran Asfarena, saya mengambil keputusan meningkatkan jenama menjadi lebih berkualiti. Akhirnya, Sadeera di bawah label Absarena Academy dirasmikan pada September 2016.

“Modul pembelajaran diselaraskan di semua institut di bawah jenama akademi berkenaan. Kisah pembabitan saya dalam bidang jahitan ini bermula selepas berhenti awal sebagai tentera.

“Selepas lulus kursus kemahiran dalam jahitan pakaian wanita tahap dua, saya menambah kemahiran dalam bidang jahitan membabitkan bilik tidur atau hiasan dalaman seperti langsir,” katanya.

Pada masa sama, Azlina turut menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada individu berminat dalam bidang jahitan pakaian ataupun dekorasi dalaman. Kelas akan dilakukan di institut atau luar kawasan bergantung kepada permintaan.

Jelasnya, kursus jahitan yang mendapat permintaan ramai masa kini adalah jahitan telekung, cadar dan selimut selain pakaian. Kebiasaannya, peserta kursus akan diajar kaedah asas dan paling mudah untuk dihabiskan dalam sehari mahupun secara ulangan.

Selain Azlina sebagai tenaga pengajar, ada juga guru lain yang mahir dalam bidang jahitan masing-masing dijemput berdasarkan kepada permintaan terhadap kemahiran ingin dipelajari.

Ia dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan menawarkan pelbagai kursus jahitan termasuk telekung, sejadah, selimut, gegebar (selimut penghias katil), cadar, tilam bayi, tudung dan pakaian selain menerima tempahan secara pukal.

“Bagi saya, kemahiran dalam apa juga bidang memang diperlukan terutama dalam keadaan ekonomi pada masa sekarang. Selain menggunakan tulang empat kerat, dengan adanya kemahiran dan ilmu, ia sekali gus dapat meningkatkan kemampuan diri untuk bertahan dalam keadaan yang mencabar.

“Misalnya, manfaat kemahiran jahitan sangat besar kerana ia membabitkan keperluan harian kita seperti pakaian, selimut dan tilam. Justeru, semua orang sama ada lelaki mahupun wanita memerlukan kemahiran untuk terus hidup.

“Apabila ada kemahiran, kita boleh membuka perniagaan atau mengambil tempahan dalam bidang jahitan yang dimiliki,” katanya.

Bagi Juziana Abdul Satar, 34, biarpun sudah memiliki pekerjaan dan pendapatan tetap sebagai pembantu tadbir, dia tetap mahu menambah ilmu menjahit langsir.

“Semasa di sekolah vokasional dulu saya ambil jurusan jahitan pakaian wanita. Kemudian, sambung pengajian di Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam jahitan pakaian lelaki tahap dua.

“Namun, selepas tamat belajar, saya mendapat pekerjaan tetap di sektor kerajaan dan berhenti menjahit. Pada 2014, barulah saya menjahit semula namun dalam jahitan langsir secara separuh masa hingga ke hari ini.

“Itu pun atas saranan emak yang menyuruh saya belajar menjahit langsir selepas mendapati upah untuk tempahan langsir rumah yang agak mahal.

“Kemudian saya belajar pelbagai ilmu jahitan seperti menjahit telekung dan selimut. Mulanya memang niat belajar untuk menjahit keperluan keluarga sendiri, namun sejak tahun lalu saya mula menerima tempahan selepas benar-benar mahir,” katanya.

Baginya, kemahiran menjahit sangat penting bukan saja untuk menjahit keperluan diri sendiri dan keluarga tetapi boleh membantu mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah di samping dapat menjana pendapatan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 6:10 AM