MANGSA yang ditemui di tepi longkang. FOTO ihsan Polis
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Remaja perempuan warga Indonesia cedera selepas dipercayai didera majikan dan ditemui terbaring di tepi longkang di Mutiara Damansara di sini, 12.10 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa berusia 19 tahun itu ditemui pengawal keselamatan di Jalan PJU 7/30 yang kemudian memaklumkan kepada penduduk wanita di kawasan berhampiran.

Katanya, mangsa kemudian dibawa wanita terbabit ke klinik berhampiran sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, pada 1.44 tengah hari.

"Susulan itu, mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa dipercayai bekerja di sebuah rumah di kawasan terbabit dan usaha mengesan majikan serta kediaman itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Difahamkan mangsa dipercayai dikelar menggunakan alatan tajam serta dipukul dengan alat tumpul dan mengalami kecederaan di kedua-dua mata, belakang serta dalaman.

Mangsa kini dilaporkan stabil selepas dirawat di unit kecemasan PPUM.

"Berdasar kecederaan yang dialami, kita mengesyaki berlaku insiden penderaan ke atas mangsa dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 9:14 PM